Skip to main content

Sukan

Atlit MMA Angela Lee akui nahas kereta pada 2017 satu percubaan bunuh diri, sahkan adiknya Victoria ambil nyawa sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit MMA Angela Lee akui nahas kereta pada 2017 satu percubaan bunuh diri, sahkan adiknya Victoria ambil nyawa sendiri

(Gambar: Instagram/angelaleemma)

Amaran: Laporan ini membincangkan isu bunuh diri dan mengandungi perihal percubaan bunuh diri.

SINGAPURA: Juara seni bela diri campuran (MMA), Angela Lee mendedahkan pada Selasa (19 Sep) bahawa kemalangan kereta yang beliau alami pada 2017 di Hawaii adalah satu percubaan membunuh diri.

Dia juga mengesahkan bahawa adiknya Victoria, yang meninggal dunia tahun lalu pada usia 18 tahun, mengambil nyawanya sendiri.

Pendedahan itu dibuat dalam artikel yang ditulis Lee untuk Players' Tribune, sebuah laman web yang menerbitkan kisah seorang atlit dari sudut pandangannya sendiri.

"Saya mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat ini tetapi saya kini cukup selesa dan yakin untuk berkongsi sepenuhnya kisah saya," tulis Lee dalam artikel bertajuk Resilient (Daya Bingkas).

"Enam tahun lalu, saya cuba untuk membunuh diri. Nahas kereta pada November 2017 bukanlah satu kemalangan. Ia adalah percubaan membunuh diri," kongsinya dengan penuh emosi.

Lee berusia 20 tahun pada 2017.

Dia baharu ditabal juara dunia kejohanan MMA ONE Championship wanita termuda tahun sebelumnya dan mempertahankan gelarannya dua kali pada 2017. Dia juga sudah bertunang dan tidak sabar menantikan hari perkahwinannya.

Bagaimanapun, ketika tarikh pertandingan untuk mempertahankan gelarannya semakin hampir, dia mula bergelut dengan perasaan tertekan.

"Saya tidak mahu mengecewakan sesiapa," katanya dan lebih rela keluar dari pertarungan daripada mengalami kegagalan.
 
(Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Menggambarkan detik-detik sebelum kemalangan kereta pada 6 Nov 2017 iaitu kurang tiga minggu sebelum perlawanan yang dijadualkan menentang Mei Yamaguchi di Singapura, Lee berkata ia adalah "malam paling lama" dalam hidupnya.

Dia cuba mencederakan dirinya sendiri di rumah sebelum keluar pada 4.00 pagi dan memandu ke arah jalan di lereng gunung berhampiran.

Apabila Lee membuka matanya selepas kemalangan itu, dia berada dalam keadaan terbalik dan dikelilingi serpihan kaca pecah. Dia diselamatkan oleh pemandu yang kebetulan berada di situ.

Lee akhirnya tidak bertanding dengan Yamaguchi pada November 2017 namun menulis bahawa dia datang ke acara itu.

Kedua-duanya bertarung pada Mei berikutnya, dengan Lee kembali untuk mempertahankan gelarannya sekali lagi.
Angela, Victoria dan abang mereka Christian Lee semuanya mewakili Singapura dan Amerika Syarikat dalam kejohanan ONE Championship.

Angela ialah juara bertahan dunia dalam kategori atomweight manakala Christian ialah juara dunia dalam acara light.

Kedua-duanya bagaimanapun tidak lagi beraksi sejak kematian Victoria pada Disember 2022.

Victoria telah memperoleh rekod 3-0 semasa bersama ONE, dengan memenangi ketiga-tiga pertarungan pada 2021.

Seorang lagi saudara lelaki mereka, Adrian, adalah seorang lagi atlit seni bela diri yang berbakat besar.

Ibu bapa mereka Ken Lee dan Jewelz Lee adalah penggiat seni bela diri yang telah mengendalikan gim mereka sendiri selama beberapa dekad di Amerika Syarikat dan Kanada.

PROSES PEMULIHAN

Angela Lee berkata, satu-satunya orang yang mengetahui keadaan sebenar mengenai kejadian pada 2017 itu ialah suaminya, Bruno Pucci.

Dia mengambil masa yang agak lama untuk sembuh selepas kejadian itu kerana bergelut dengan rasa bimbang, emosi yang tidak stabil dan serangan panik. Lee juga sukar untuk berkongsi tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Aktiviti seperti senaman pernafasan, menulis dan menghabiskan masa di luar rumah membantunya dengan proses itu.

"Hari demi hari berlalu, keadaan perlahan-lahan menjadi lebih baik. Dan saya semakin rasa diri saya lebih terbuka untuk bercakap dengan orang lain tentang apa yang telah saya lalui," tulisnya.

Lee berkata dia masih berdepan dengan hari-hari yang sukar, tetapi kini lebih bersedia untuk menghadapinya.

"Semakin saya memikirkannya, semakin saya percaya bahawa saya masih berada di sini pada hari ini supaya saya boleh berkongsi cerita saya dengan anda," sambungnya.

"Mungkin ada orang di luar sana yang bergelut dengan apa yang telah saya lalui. Mungkin dengan mendengar ini, mereka dapat melihat bahawa masih ada harapan."

Berikut adalah talian bantuan yang boleh anda hubungi sekiranya anda berdepan masalah:

- Hotline Samaritans of Singapore
1767
- Institut Kesihatan Mental (IMH)
6389 2222
- Talian Bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura
1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa menerusi pautan ini.


Jika seseorang yang anda kenali memerlukan bantuan segera, anda boleh menghubungi talian khidmat kecemasan 24 jam.

Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita