Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit M'sia Abdul Latif dijangka pulih 2 bulan lagi setelah cedera di Sukan Paralimpik Tokyo

Jaguh lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Malaysia Abdul Latif Romly dijangka pulih daripada kecederaan dialaminya di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, dalam masa dua bulan lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit M'sia Abdul Latif dijangka pulih 2 bulan lagi setelah cedera di Sukan Paralimpik Tokyo

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 05:28PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 05:44PM

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Malaysia Abdul Latif Romly dijangka pulih daripada kecederaan dialaminya di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, dalam masa dua bulan lagi.

Jurulatihnya Shahrul Amri Suhaimi berkata buat masa ini pemenang emas Sukan Paralimpik Tokyo itu menunjukkan perkembangan baik dan sudah boleh menggerakkan bahagian kaki kirinya yang mengalami kecederaan ‘groin’, sedikit demi sedikit.

“Abdul Latif dijangka menerima rawatan selanjutnya di Bukit Jalil selepas beliau tamat menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di sini.

“Beliau juga akan menerima suntikan di bahagian kaki kirinya yang mengalami kecederaan di Bukit Jalil selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini (12 Sep).

Pada aksi peringkat akhir di Stadium Olimpik Tokyo 4 Sept lepas, Abdul Latif yang memenangi pingat emas pertamanya di Rio 2016, berada dalam kelas tersendiri apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter, yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45 meter pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya dalam penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Atlit berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik, dengan lompatan 7.60 meter di Rio 2016, kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56 meter pada lompatan kelimanya.

Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat melengkapkan lompatan terakhirnya pada percubaan keenam dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik, 7.17m manakala lompatan sejauh 7.12m membantu atlet Australia, Nicholas Hum untuk membawa pulang gangsa.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 38 tahun dari Kedah itu memaklumkan anak buahnya akan mengambil cuti rehat untuk menjenguk keluarganya di Perlis, selepas pulih daripada kecederaan dialaminya.

“Saya harap Abdul Latif dapat gunakan peluang berehat bersama keluarganya untuk ‘refresh’ dirinya selepas berjuang untuk negara di Jepun, sebelum menyambung kembali sesi latihan selepas pulang dari kampung halamannya,” tambahnya.

Mengenai perancangan tahun hadapan, Shahrul Amri mengakui masih belum menerima maklumat untuk menyertai mana-mana kejohanan selepas ini, namun apa yang lebih penting baginya adalah memastikan Abdul Latif dapat menyertai tiga kejohanan besar, iaitu Sukan Para ASEAN di Hanoi, Vietnam; Sukan Para Asia di Hangzhou, China dan Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan