Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit luncur ais Rusia, Kamila Valieva diuji positif bahan terlarang selepas raih pingat emas

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit luncur ais Rusia, Kamila Valieva diuji positif bahan terlarang selepas raih pingat emas

Atlit luncur ais Rusia, Kamila Valieva. Gambar: AP

BEIJING: Atlit luncur ais Rusia, Kamila Valieva, diuji positif bahan terlarang pada bulan lalu.

Ini disahkan oleh Agensi Ujian Antarabangsa (ITA), lapor Astro AWANI.

Atlit berusia 15 tahun itu membantu pasukan luncur ais Jawatankuasa Olimpik Rusia memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di China pada Isnin (7 Feb).

Pingat bagi acara itu kemudian tidak disampaikan disebabkan oleh "isu perundangan".

Valieva diuji positif mengambil trimetazidine berdasarkan sampel yang diambil daripada Kejohanan Kebangsaan Rusia sewaktu Hari Krismas.

Trimetazidine adalah sejenis ubat untuk mencegah serangan angina, di mana ia merupakan bahan yang berada dalam senarai terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana mampu meningkatkan aliran darah ke jantung.

Keputusan positif itu disahkan Selasa lalu (8 Feb), sehari selepas beliau beraksi di Beijing, sekali gus menyaksikan baki penyertaannya dalam temasya itu menimbulkan tanda tanya.

Agensi Anti-Doping Rusia (RUSADA) sudah menarik penggantungan sementara terhadap atlit itu pada Rabu (9 Feb) bagi membolehkannya untuk terus beraksi di ibu kota China itu dengan apa yang disifatkan ITA sebagai "keputusan bersebab" yang masih belum didedahkan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan ITA sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kini bersedia untuk membuat satu keputusan pantas mengenai kes berkenaan sebelum Valieva beraksi dalam acara individu pada Selasa akan datang (15 Feb).

Kes ini menjadi rumit disebabkan oleh umur Valieva, di mana dalam peraturan WADA, setiap peserta yang berusia bawah umur 16 tahun dianggap "orang yang dilindungi" dan nama atlit yang terlibat tidak boleh didedahkan.

Akan tetapi, ITA memberikan sebab mengapa ia mendedahkan perkara itu kepada umum dengan berkata dalam satu kenyataan: "Melihat kepada situasi di mana sesetengah media tidak memberikannya perlindungan yang sama dan telah melaporkan secara meluas berdasarkan informasi tidak rasmi berikutan penangguhan penyampaian pingat acara luncur ais berpasukan dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, ITA menyedari keperluan untuk memberikan maklumat rasmi berdasarkan minat masyarakat yang kian tinggi."

Valieva, yang muncul sebagai peluncur wanita pertama yang berhasil melakukan lompatan quadruple dalam temasya itu, merupakan peserta pilihan untuk merangkul pingat emas dalam acara individu.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan