Skip to main content

Sukan

Atlit, lagenda sukan luahkan sokongan untuk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit, lagenda sukan luahkan sokongan untuk Gaza

(Gambar: AFP/Valery HACHE/ANDREJ ISAKOVIC)

Diterbitkan : 01 Jun 2024 11:39PM Dikemas Kini : 01 Jun 2024 11:44PM
PERANCIS: Atlit, tokoh dan peminat sukan bersepakat menunjukkan sokongan kepada Palestin dan mengutuk serangan Israel ke atas Carikan Gaza.

Lagenda Manchester United dan bekas bintang Perancis, Eric Cantona, antara yang mempersoalkan sikap dunia terhadap Israel.

"Adakah masih ada yang membela penjenayah ini? Adakah masih ada yang tidak mengutuk penjenayah? Adakah masih ada yang masih memberi senjata kepada penjenayah ini? Adakah masih ada yang tidak akan memanggil ini sebagai pembunuhan beramai-ramai? Adakah masih ada yang tidak akan mengalirkan air mata atas kekejaman ini?" Cantona, 58 tahun, menulis di Instagram, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

Sejak Oktober tahun lalu, Cantona secara terang-terangan menyatakan pendiriannya, dengan memuat naik catatan di Instagram berkenaan kepentingan memahami maksud slogan 'Bebaskan Palestin' kepada para pengikutnya.

Juara tujuh kali Formula One, Lewis Hamilton pula menuntut Israel menghentikan serangannya selepas insiden serangan udara di Rafah, di mana puluhan orang awam dibunuh.

"Cukuplah. Kita tidak boleh terus melihat tragedi ini berlaku dan tidak bersuara. Trauma dan keganasan yang dialami terutamanya kanak-kanak yang tidak berdosa, amat mengerikan. Ini mesti dihentikan; untuk kanak-kanak, untuk keluarga mereka, dan untuk mereka terus hidup," pemandu pasukan Mercedes berusia 39 tahun dari Britain itu meluahkan perasaannya menerusi Instagram Story pada 29 Mei lalu.

Pemain bola sepak, Hakim Ziyech, dari Maghribi dan Kerem Akturkoglu, dari Turki, yang kini mewakili kelab bola sepak Turki, Galatasaray, turut menunjukkan sokongan kepada Palestin semasa sambutan kejuaraan ke-24 kelab itu pada Isnin (27 Mei).

Ziyech mengibarkan bendera Palestin semasa perayaan itu, manakala Akturkoglu memakai keffiyeh Palestin di pergelangan tangannya, lapor Sinar Harian.

Akturkoglu memuat naik gambar tangan yang terbakar dengan perkataan "RAFAH" ditulis di seluruh gambar tersebut dengan hashtag, "RafahOnFire."

Sementara itu, peminat kelab bola sepak Scotland, Celtic, mempamerkan sokongan dengan bendera Palestin bersama figura kanak-kanak Palestin dan sepanduk.

"Dendam kami akan terbalas dengan gelak ketawa anak-anak kami," ditulis pada sepanduk semasa perlawanan akhir Piala Scotland menentang Rangers, minggu lalu.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita