Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Atlit 'kite foil' Maximilian Maeder rangkul emas pertama SG di Sukan Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit 'kite foil' Maximilian Maeder rangkul emas pertama SG di Sukan Asia

Atlit sukan luncur 'kite foil' Maximilian Maeder di Kiteboarding Formula Dunia Belia 2021 di Mussanah, Oman. (Gambar fail: Facebook/SingaporeSailing)

Diterbitkan : 27 Sep 2023 02:24PM Dikemas Kini : 27 Sep 2023 02:37PM
NINGBO: Juara dunia sukan luncur 'kite foil' Maximilian Maeder berjaya merangkul pingat emas pertama Singapura bagi Sukan Asia Hangzhou pada Rabu (27 Sep).

Dalam penampilan sulung Sukan Asianya, atlit berusia 17 tahun itu menguasai semua 16 perlumbaan sebelum mara ke pusingan akhir 'formula kite' lelaki.

Pusingan akhir, yang dijangka menampilkan Maeder beraksi untuk memburu pingat, bagaimanapun dibatalkan pada Rabu disebabkan keadaan angin yang lemah. Namun Maeder tetap dinobatkan sebagai juara bagi acara tersebut.

Sejauh ini, Maeder telah meraih pencapaian yang cemerlang bagi tahun ini. Pada bulan lalu, atlit sukan luncur 'kite foil' itu berjaya menggondol pingat emas dalam acara sukan luncur 'kite' di Kejuaraan Dunia Sukan Layar di The Hague, Belanda.

Keputusan di acara tersebut juga sekali gus bermakna Maeder sudah menjamin kedudukan Singapura untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada awal Rabu, Victoria Chan turut menambah pungutan pingat bagi pasukan sukan layar negara setelah beliau memenangi pingat gangsa dalam acara ILCA 6 Wanita. Perlumbaan menentukan pingat Chan juga dibatalkan.

Pada Selasa, pasukan sukan layar negara memungut dua pingat perak dan dua pingat gangsa menerusi Justin Liu dan Denise Lim (Nacra 17) dan Isaac Goh (ILCA4 lelaki) serta Keira Carlyle (ILCA4 wanita) dan pasangan Kimberly Lim dan Cecilia Low (49erFX wanita).

Di edisi Sukan Asia sebelumnya pada 2018, kontinjen sukan layar Singapura berjaya memenangi satu pingat emas dan satu pingat gangsa. Team Singapore pula secara keseluruhannya, berjaya meraih empat emas, empat perak dan 14 gangsa.

Pingat pertama Singapura di Sukan Asia 2023 diraih menerusi pencapaian atlit wushu Kimberly Ong, yang memenangi pingat gangsa dalam acara changquan wanita.

Anda boleh ikuti liputan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di 6 saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan