Skip to main content

Sukan

Atlet Olimpik Tokyo dikecualikan daripada pengasingan 14 Hari, kata penganjur

Para atlet yang tiba di Tokyo bagi Sukan Olimpik tahun depan akan dikecualikan daripada tempoh pengasingan 14 hari yang ditetapkan Jepun bagi sesiapa yang tiba dari luar negara untuk membantu menghentikan penularan virus COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlet Olimpik Tokyo dikecualikan daripada pengasingan 14 Hari, kata penganjur

Gambar Fail: Toshiro Muto, Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020. (REUTERS/Issei Kato)

Diterbitkan : 12 Nov 2020 08:51PM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 09:04PM

TOKYO: Para atlet yang tiba di Tokyo bagi Sukan Olimpik tahun depan akan dikecualikan daripada tempoh pengasingan 14 hari yang ditetapkan Jepun bagi sesiapa yang tiba dari luar negara untuk membantu menghentikan penularan virus COVID-19.

Sukan Olimpik itu sepatutnya diadakan pada tahun ini namun ditangguhkan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menurut pihak penganjur hari ini (12 Nov), maklumat lanjut masih perlu dibincangkan tetapi langkah-langkah yang akan dilaksanakan ke atas para atlet termasuk ujian virus korona sekitar 72 jam sebelum tiba di Jepun. Namun, mereka memberi amaran bahawa keputusan mengenai para penonton asing belum lagi dibuat. Pihak penganjur menambah untuk melaksanakan kuarantin 14 hari itu "mustahil".

"Para atlet, jurulatih dan pegawai Sukan yang layak untuk ke Sukan Tokyo akan dibenarkan memasuki negara itu, asalkan langkah-langkah penting sudah diambil sebelum memasuki Jepun," menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020 Toshiro Muto di satu sidang akhbar.

Encik Muto berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama pegawai-pegawai Pemerintah Metropolitan Tokyo, pemerintah nasional dan para penganjur Tokyo 2020 mengenai prosedur pencegahan jangkitan semasa Sukan Olimpik.

Beliau berkata keputusan berhubung para penonton asing akan dibuat pada tahun depan, bergantung kepada perkembangan pandemik. Jepun sudah mengadakan beberapa acara ujian baru-baru ini, termasuk perhimpunan gimnastik empat negara pada hujung minggu lepas yang dihadiri para penonton Jepun.

"Menjelang musim bunga akan datang, kami akan ada perancangan bagi para penonton, termasuk penonton bukan dari Jepun," kata beliau.

"Agak mustahil untuk menetapkan tempoh kuarantin 14 hari bagi para penonton asing, maka ujian sebelum dan setibanya di Jepun diperlukan."

Jika peminat-peminat dibenarkan ke tempat tertentu, mereka mungkin diminta agar tidak menjerit atau bersorak bagi mengurangkan risiko penularan virus melalui titisan cecair di udara, tambah Encik Muto.

Garis panduan itu sudahpun ditetapkan selama beberapa bulan di stadium bola sepak dan besbol profesional.

"Terdapat kemungkinan bahawa para penonton mungkin diminta agar tidak menjerit atau bercakap dengan kuat," menurut Encik Muto, walaupun belum ada sebarang keputusan dibuat.

Encik Muto menyatakan beliau menjangkakan bahawa perincian langkah-langkah pencegahan virus korona itu akan dimuktamadkan menjelang lawatan ketua Jawatankuasa Olimpik Thomas Bach, ke Jepun selama tiga hari, pada minggu depan.

Sumber : Reuters/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita