Atlet 'kitefoil' SG Maximilian Maeder juara Kejohanan Formula Kite Eropah
Atlet 'kitefoil' Singapura Maximilian Maeder berjaya mempertahankan gelaran juara Kejohanan Formula Kite Eropah pada Isnin (19 Mei) selepas meraih kemenangan pada hari terakhir perlumbaan.
Atlet 'kitefoil' Maximilian Maeder. (Gambar fail: SNOC/Kong Chong Yew)
Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan Ricardo Pianosi dari Itali, memenangi dua perlumbaan pertama dalam siri pingat untuk merebut gelaran juara.
Dalam siri pembukaan, Pianosi mendahului para pesaing dengan 18 mata bersih, sekali gus melayakkannya secara automatik ke siri pingat. Maeder yang berusia 18 tahun meraih 40 mata bersih dan menduduki tempat kedua, yang bermakna beliau juga layak secara automatik.
Melangkah ke hari terakhir perlumbaan di Urla, Turki, Pianosi hanya memerlukan satu lagi mata di peringkat akhir melibatkan seramai empat peserta untuk merebut gelaran.
Maeder bagaimanapun dinobat juara selepas meraih kemenangan dalam dua perlumbaan berturut-turut. Pianosi merangkul pingat perak dan Gian Andrea Stragiotti dari Switzerland pula mendapat pingat gangsa.
Maeder memulakan tahun ini dengan mengekalkan gelarannya di Trofeo Princesa Sofia Regatta di Palma, Mallorca, bulan lalu.
Beliau menamatkan perlumbaan di hadapan Pianosi dan Valentin Bontus dari Austria.
Atlet Singapura itu kemudian meraih pingat perak semasa acara Minggu Olimpik Perancis di Hyeres, Perancis, pada hujung April di belakang Pianosi.
Atlet 'kitefoil' nombor satu dunia itu mempamerkan prestasi yang hebat pada 2024.
Pada Ogos tahun lalu, Maeder menamatkan penantian Singapura selama lapan tahun untuk menduduki tempat podium Olimpik sejak perenang Joseph Schooling memenangi pingat emas pada 2016. Maeder, ketika itu berusia 17 tahun, juga menjadi pemenang pingat Olimpik termuda Singapura.
Beliau kemudian memenangi empat kejuaraan berturut-turut selepas meraih pingat gangsa di Perancis, memenangi Kejohanan Siri Dunia KiteFoil Austria, Kejohanan Formula Kite Asia 2024 di Daishan, China, Kejohanan Siri Dunia Kitefoil Itali dan Kejohanan Formula Remaja Eropah pada Oktober lalu.
Rakan senegara Maeder, Ryan Lo, mencatat pencapaian bersejarah di Kejohanan Dunia Lelaki ILCA 7 di Qingdao, China, pada hujung minggu lalu.
Pemenang pingat emas Sukan Asia dan peserta Sukan Olimpik sebanyak dua kali, Lo menduduki tempat ke-14 secara keseluruhan dalam kumpulan seramai 138 atlet sukan layar. Ini adalah pencapaian tertinggi yang direkodkan oleh atlet sukan layar Asia pada mana-mana edisi Kejohanan Dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.