Atlet kitefoil SG Max Maeder rampas semula gelaran juara dunia
Atlet sukan layar kitefoil Singapura Maximilian Maeder merangkul gelaran dunia ketiganya pada Sabtu (16 Mei) selepas menjuarai Kejohanan Dunia Formula Kite di Viana do Castelo, Portugal.
Atlet sukan layar kitefoil Singapura, Max Maeder. (Gambar: SportSG/Chanainut Thongratanachat)
Atlet kitefoil nombor satu dunia itu menamatkan saingan di hadapan Gian Stragiotti dari Switzerland.
Maeder turut menjuarai edisi 2023 dan 2024 kejohanan tersebut.
Pada edisi terakhir Kejohanan Dunia, Maeder memenangi pingat perak, selepas diatasi oleh atlet Italy, Ricardo Pianosi.
“Saya mempunyai pasukan yang sangat hebat yang menyokong saya. Sudah tentu, saya sentiasa mengatakan bahawa saya seorang yang sangat bertuah, tetapi ya, saya sudah cuba sedaya upaya untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” kata Maeder selepas perlumbaan itu.
“Dan yang lain, saya pasti mereka akan segera menyusul. Jadi, saya perlu sentiasa berwaspada seperti yang selalu diingatkan jurulatih saya.”
Kemenangan itu melengkapkan minggu cemerlang buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik berusia 19 tahun itu, yang menguasai perlumbaan kumpulan dalam siri pembukaan dan layak secara automatik ke pusingan akhir pada Sabtu di hadapan Stragiotti.
Maeder memasuki pusingan akhir yang menggunakan format kemenangan dua perlumbaan pertama, dengan satu kemenangan sudah dalam genggaman.
Beliau kemudian menamatkan perlawanan dengan merangkul gelaran pada percubaan pertama.
Atlet Singapura itu menunjukkan prestasi cemerlang tahun ini selepas menjuarai perlumbaan Trofeo Princesa Sofia dan merebut gelaran Formula Kite di Minggu Olimpik Perancis bulan lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.