Skip to main content

Sukan

Atlet 'kitefoil' Max Maeder dinobat Olahragawan Terbaik buat kali pertama

Anggaran Waktu Membaca:
Atlet 'kitefoil' Max Maeder dinobat Olahragawan Terbaik buat kali pertama

(Dari kiri) Ketua Eksekutif Tote Board Tan Choon Shian, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, Hwee Keng Maeder, Valentin Maeder dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo. (Gambar: Desmond Wee/SNOC)

SINGAPURA: Atlet 'kitefoil' Singapura, Maximilian Maeder, memenangi gelaran Olahragawan Terbaik buat kali pertama di Anugerah Sukan Singapura pada Jumaat (20 Jun) malam.

Atlet berusia 18 tahun itu merangkul anugerah Olahragawan Muda Terbaik selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini, namun kali ini beliau memenangi anugerah utama tersebut bagi mengiktiraf prestasi cemerlangnya sepanjang musim 2024.

Ini termasuk kejayaan beliau memenangi pingat gangsa bersejarah di Sukan Olimpik Paris.

Remaja itu mempamerkan prestasi cemerlang tahun ini, dengan turut mempertahankan gelarannya di 'Trofeo Princesa Sofia Regatta'.

Beliau juga berjaya mempertahankan kejuaraannya di Terbuka Kejohanan Eropah 'Formula Kite'.

Maeder, yang kini menduduki ranking teratas dunia dalam sukan 'kitefoil', bagaimanapun tidak hadir di Swissotel The Stamford, di mana berlangsungnya majlis anugerah tersebut, kerana masih dalam musim pertandingan.

Beliau diwakili oleh ibu bapanya, Valentin Maeder dan Hwee Keng Maeder, yang menerima cek bernilai S$10,000 bagi pihaknya.

Pencapaian atlet wushu, Zeanne Law, turut diiktiraf apabila beliau memenangi anugerah Olahragawati Terbaik buat kali pertama, selepas memenangi gelaran Olahragawati Muda Terbaik pada 2024.

Antara detik cemerlangnya termasuk memenangi dua pingat emas di Kejohanan Taijiquan Dunia pada Ogos tahun lalu.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, merangkap Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Grace Fu, memberi penghormatan atas pencapaian Maeder dalam ucapannya di majlis anugerah itu.

“Maximilian Maeder menjalani musim yang sukar dilupakan pada 2024, memenangi hampir semua acara yang dipertandingkan dan mengakhiri musim dengan pingat gangsa di Sukan Olimpik,” katanya.

Cik Fu turut memuji “tahun yang luar biasa” bagi Team Singapore, sambil berkata bahawa 15 daripada 23 atlet yang bertanding di Paris membuat penampilan sulung mereka di Olimpik.

“Daripada kejohanan serantau hingga ke pentas berprestij Sukan Olimpik Paris, atlet kita berdiri sebaris dengan yang terbaik di dunia — membuktikan bahawa Singapura sudah meraih tempatnya di peta sukan antarabangsa,” ujarnya.

Menyentuh mengenai Kejohanan Akuatik Dunia, yang akan dianjurkan oleh Singapura buat kali pertama bulan depan, Cik Fu menyifatkan acara itu sebagai “satu pencapaian besar dan detik yang membanggakan bagi masyarakat sukan kita.”

Kejohanan tersebut dianggap kedua paling berprestij selepas Olimpik.

Anugerah Sukan Singapura, yang dianjurkan oleh SNOC bersama Sport Singapore dan disokong oleh Tote Board, bertujuan mengiktiraf individu dan pasukan yang paling layak dalam bidang sukan bagi 2024.

Kai Minejima Lee (terjun udara di tempat tertutup) dan Charlotte Ng Leting (wushu) masing-masing memenangi anugerah Olahragawan Muda Terbaik dan Olahragawati Muda Terbaik.

Yeo Mee Hong (bola jaring) pula dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita