Skip to main content

Sukan

Atlet, keluarga, jurulatih Paris 2024 diundang hadiri sidang parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
Atlet, keluarga, jurulatih Paris 2024 diundang hadiri sidang parlimen

Dari kiri: Pemain boccia Jeralyn Tan, atlet kitefoil Maximilian Maeder dan perenang Yip Pin Xiu. (Gambar: Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura, Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura)

SINGAPURA: Atlet Team Singapore yang mengambil bahagian dalam Olimpik dan Paralimpik Paris, termasuk pemenang pingat Jeralyn Tan, Maximilian Maeder dan Yip Pin Xiu, diundang menghadiri sidang parlimen pada bulan depan.

Menerusi satu catatan Facebook pada Isnin (23 Sep), Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata bahawa kementeriannya akan mengemukakan satu usul di sidang tersebut untuk mengucapkan tahniah kepada semua atlet, terutama sekali para pemenang pingat, atas pencapaian masing-masing menerusi acara Olimpik atau Paralimpik.

"Pada bulan depan, di sidang parlimen Oktober, kami akan memberi penghormatan kepada atlet-atlet Olimpik dan Paralimpik kami yang sudah mewakili Singapura dengan begitu cemerlang di Paris," tulis beliau.

Team Singapore menghantar 23 atlet yang bertanding dalam 11 sukan Olimpik, serta 10 atlet yang bertanding dalam enam sukan Paralimpik.

Encik Tong turut menghantar undangan kepada keluarga serta jurulatih para atlet.

"Mereka kumpulan tidak ternilai di sebalik pasukan tersebut. (Mereka) setia menyokong dan sentiasa menunjukkan dedikasi buat Team Singapore. Sokongan mereka segala-galanya buat kami," tulisnya lagi.

Atlet 'kitefoil' Maximilian Maeder meraih pingat gangsa di Olimpik Paris, sekaligus menjadi pemenang pingat Olimpik termuda Singapura.

Perenang Yip Pin Xiu pula memenangi pingat emas dalam acara 100m kuak lentang S2 dan 50m kuak lentang S2. Ini kali ketiga beliau menang di Paralimpik.

Pemain boccia Jeralyn Tan turut mengukir sejarah dengan meraih pingat perak Paralimpik - pingat pertama Singapura dalam sukan itu.

Menerusi catatan beliau, Encik Tong menambah bahawa perancangan bagi sukan Los Angeles 2028 dan sukan Brisbane 2032 sudahpun bermula.

"Olimpik dan Paralimpik baru berakhir beberapa minggu lalu. Namun kisah-kisah inspirasi tentang bagaimana atlet Team Singapore bertanding di arena terbesar dunia, dengan penuh keberanian, iltizam dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan buat Singapura, terus (disanjung)," tulisnya.

"Kita akan mengambil pengalaman dan pengajaran daripada kempen Paris, membina apa yang telah dicapai dan meneruskan perjuangan."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita