ASTAF tarik balik pelepasan penggantungan presiden persatuan sepak takraw Negeri Sembilan

Presiden ASTAF Abdul Halim Kader. (Gambar: BERNAMA)
SINGAPURA: Pelepasan tempoh penggantungan ke atas Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri
Sembilan merangkap Pengerusi Kejurulatihan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Wan Mohd Husni Abdullah akan ditarik balik.
Demikian menurut Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan pada Khamis (23 Jun).
Keputusan itu dibuat setelah Wan Mohd Husni didapati memburuk-burukkan nama baik ASTAF semasa satu pertemuan di antara wakil-wakil PSM dan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 8 April lalu.
Sebelum ini, Majlis Eksekutif ASTAF memutuskan bahawa Wan Mohd Husni digantung selama 5 tahun atas tindakannya yang cuba menyerang dan memaki pengadil yang mengadili perlawanan regu antara Malaysia dengan Thailand semasa temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.
Namun, setelah menjalani penggantungan selama beberapa bulan, ASTAF telah mengurangkan tempoh penggantungan Wan Mohd Husni selepas beliau membuat rayuan kepada badan itu.
Hasil rayuan tersebut, Wan Mohd Husni dilepaskan atas beberapa syarat tertentu.
Antara syarat tersebut adalah beliau berjanji tidak akan mengulangi kelakuan buruk tersebut dan akan sentiasa mematuhi segala undang-undang serta peraturan ASTAF dan ISTAF pada masa
hadapan. Selain itu, beliau juga dilarang untuk mengambil bahagian dalam Sukan Sea Vietnam.
Salah satunya ialah dia berjanji tidak akan mengulangi kelakuan buruk tersebut dan akan sentiasa
mematuhi segala undang-undang serta peraturan ASTAF pada masa hadapan.
"Walau bagaimanapun, pada 8 April 2022, jam 10.00 hingga 11.30 pagi di pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Aras 2 Gimnasium 3, Kuala Lumpur Sports City, dalam satu pertemuan antara wakil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan wakil Konfederasi Sepaktakrwa Malaysia Sepaktakraw (MSC) dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, beliau didapati telah memburuk- burukkan nama baik ASTAF," kata Encik Abdul Halim.
"Wan Mohd Husni telah mendakwa bahawa Presiden ASTAF melakukan kerja berseorangan dan tidak mengikut peraturan. Menurut beliau, segala tindakan yang dikenakan ke atas PSM adalah angkara tindakan bersendirian Presiden ASTAF," tambahnya.
Wan Mohd Husni juga membuat tomahan bahawa tiada sebarang mesyuarat diadakan ketika mengambil tindakan untuk menyingkirkan PSM daripada Ahli Gabungan ASTAF, menurut kenyataan itu lanjut.
"Namun, Presiden ASTAF dan ASTAF mempunyai bukti yang kukuh atas segala tuduhan dan tomahan yang telah dilemparkan oleh Wan Mohd Husni Abdullah terhadap ASTAF."
Sehubungan itu, ASTAF melalui Jawatankuasa Eksekutifnya memutuskan untuk mengenakan tindakan disiplin dan menarik balik pelepasan penggantungan yang telahpun diberikan kepada Wan Mohd Husni sebelum ini "memandangkan tomahan tersebut amat serius serta mengaibkan nama baik ASTAF".
Oleh demikian, Wan Mohd Husni dikenakan semula hukuman penggantungan hingga tamat tempoh
penggantungan lima tahun yang telah dijatuhkan ke atasnya, bermula 9 Disember 2019 hingga 8 Disember 2024.
Sewaktu penggantungannya, Wan Mohd Husni dilarang terlibat dalam mana-mana kegiatan dan aktiviti berkaitan sepak takraw di dalam mahupun luar negara serta tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan berkaitan sepak takraw atau lainnya.
"ASTAF berharap agar tindakan terhadap Wan Mohd Husni Abdullah akan menjadi contoh dan tauladan kepada pegawai sukan lain agar tidak mencemarkan nama baik dan imej sukan sepak takraw," menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.