ASTAF, ISTAF tangguh semua pertandingan takraw bagi elak COVID-19
Kesemua pertandingan sepak takraw sama ada yang dianjurkan atau diiktiraf oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan ditangguh sehingga Ogos 2020
Pasukan Singapura menentang Philippines di gelanggang Sukan SEA 2019. (Gambar: Izwan Ohtman)
SINGAPURA: Kesemua pertandingan sepak takraw sama ada yang dianjurkan atau diiktiraf oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan ditangguh sehingga Ogos 2020.
Demikian diumumkan oleh Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (16 Mac) di tengah-tengah pandemik COVID-19.
“Ia sangat penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga sedemikian untuk membendung penularan COVID-19 dan menjaga keselamatan para pemain, kakitangan dan anggota masyarakat,” tegas beliau.
Rabu lalu (11 Mac), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus korona baru itu sebagai satu pandemik. Sejauh ini, ia sudah meragut lebih 6,500 nyawa di merata dunia dan lebih 170,000 kes jangkitan dilaporkan.
Dunia sukan turut terjejas dengan sebilangan perlawanan dan kejohanan ditunda atau dibatalkan selepas beberapa pemain serta pegawai sukan dijangkiti virus tersebut.
Sebagai contoh, Liga Perdana England (EPL) ditangguhkan sehingga 3 April 2020 selepas pengurus Arsenal Mikel Arteta dan pemain sayap kanan Chelsea Callum Hudson-Odoi diuji positif COVID-19. Selain bola sepak, musim tenis, bola keranjang, maraton dan Formula 1 turut terjejas.
ISTAF dan ASTAF mengambil keputusan serupa seiring dengan nasihat WHO meskipun sesetengah pertandingan utama disenaraikan dalam pelan tahun ini termasuk Kejohanan Sepak Takraw Belia ASTAF di Chinese Taipei dari 6 hingga 13 April dan Kejohanan Sepak Takraw Asia di China dari 26 Mei hingga 2 Jun.
Kalender ISTAF tahun ini. (Gambar: ISTAF)
“ISTAF memohon persefahaman, kerjasama dan sokongan negara-negara yang terjejas sedang kami meneruskan usaha untuk menangani COVID-19 secara bersama, baik sebagai wakil sukan ini dan juga sebagai satu masyarakat, satu keluarga,” rumus Encik Abdul Halim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.