Arsenal, Crystal Palace terikat 2-2
Arsenal dan Crystal Palace terikat 2-2 di Stadium Emirates dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) pada Khamis (24 Apr), menyaksikan Liverpool terpaksa menangguhkan peluang untuk mengesahkan kejuaraan EPL buat kali kedua dalam tempoh lima musim.

Pemain Palace Jean-Philippe Mateta bersorak selepas menjaringkan gol kemenangan. (Gambar: EPA)
Skuad bimbingan Arne Slot kini hanya memerlukan keputusan seri menentang Tottenham Hotspur di Anfield pada Ahad (27 Apr) untuk merangkul gelaran liga ke-20, menyamai rekod Manchester United.
Pertemuan di London menyaksikan kedua-dua pengurus pasukan merehatkan beberapa pemain utama bagi menghadapi aksi separuh akhir pentas kejuaraan Eropah dan domestik.
Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG), manakala Palace akan bertemu Aston Villa di peringkat separuh akhir Piala FA.
Arsenal bermula cemerlang apabila Jakub Kiwior menanduk masuk tendangan bebas Martin Odegaard pada minit ketiga.
Palace kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi rembatan Eberechi Eze hasil hantaran Adam Wharton.
Leandro Trossard kembali meletakkan Arsenal di depan sebelum waktu rehat selepas menerima hantaran Jurrien Timber, menewaskan penjaga gawang Palace, Dean Henderson.
Dalam separuh masa kedua, Palace terus memberi tekanan dan berhasil memperoleh gol penyamaan melalui pemain gantian, Jean-Philippe Mateta, yang bijak memanfaatkan kesilapan William Saliba untuk memperdayakan penjaga gawang Arsenal, David Raya pada minit ke-83.
Keputusan seri itu merupakan kali ke-13 Arsenal terikat dalam perlawanan liga dan terus menjejaskan peluang mereka dalam perebutan kejuaraan.
Pengurus pasukan Arsenal, Mikel Arteta menurunkan barisan kompetitif formasi 4-3-3, dengan Bukayo Saka hanya dimasukkan sebagai pemain gantian menyusuli kecederaan buku lali.
Trossard yang mengisi posisi pemain penyerang menunjukkan prestasi meyakinkan, menjaringkan gol keempatnya dalam empat perlawanan terakhir – menyamai jumlah keseluruhan dalam 31 penampilan sebelum ini.
Palace bimbingan Oliver Glasner yang menstabilkan pasukan dengan formasi 3-4-2-1 kini menghuni tangga ke-12 EP dan mengintai peluang untuk melayakkan diri ke kejohanan Eropah menerusi kejayaan dalam Piala FA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.