Arsenal benam Spurs 2-0; kini 8 mata di depan Man City
Arsenal mara setapak lagi selepas kejayaan menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam perlawanan 'derby' Liga Perdana England (EPL) awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan The Gunners kini berkelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Manchester City yang juga merupakan juara bertahan EPL.

Pemain tengah Arsenal Emile Smith Rowe (tengah) menyasarkan bola semasa perlawanan Liga Perdana England (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur di London pada 15 Januari 2023. (Gambar: AFP)
Penjaga gol Spurs, Hugo Lloris, melakukan kesilapan sehingga terjaring gol ke gawang sendiri sebelum Martin Odegaard menggandakan kelebihan itu untuk penguasaan penuh Arsenal dalam babak pertama ditamatkan dengan kemenangan 2-0 di Stadium Tottenham Hotspur.
Dengan kelebihan lapan mata di tangga teratas, ia merupakan jurang terbesar pernah diraih Arsenal dalam liga divisyen utama apabila bermain dengan jumlah perlawanan yang sama dengan pencabar terdekat mereka sejak hari perlawanan terakhir musim 2003-04 sewaktu mereka memenangi liga dengan kelebihan 11 mata.
Dengan melengkapkan kedua-dua kemenangan ke atas Spurs musim ini dan kemenangan pertama di gelangang seteru itu sejak musim 2013-14, pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya pasukannya telah membuktikan mereka layak untuk mencabar gelaran musim ini berdasarkan prestasi cemerlang mereka.
Pengurus Arsenal itu memberitahu Sky Sports: "Saya gemar dengan cara kami bermain dan keberanian yang telah kami tunjukkan untuk datang dan bermain di sini.
"Dengan menyempurnakan tugas kami, ia boleh menggembirakan ramai orang dan saya pasti kami telah membuatkan ramai penyokong Arsenal amat gembira. Segala apa yang kami mahukan, mereka amat berkeinginan dan mencuba untuk melakukannya.
"Mereka adalah sekumpulan pemain yang luar biasa. Saya fikir hari ini kami telah melangkah setapak lagi. Kami menang musim lalu di stadium-stadium besar tetapi dengan cara kami menang hari ini, ia amat gembira untuk disaksikan.
"Ia menunjukkan bahawa bukan sekadar keazaman dan kegigihan tetapi anda perlu mempunyai kepercayaan dan kualiti untuk menewaskan pasukan ini. Ini adalah sesuatu yang sememangnya difikirkan setiap pemain.
"Kami benar-benar agresif. Kami benar-benar intensif sewaktu melakukan tekanan tinggi."
"Mereka mencipta beberapa peluang, mereka pasukan yang berbahaya tetapi kami melakukan banyak perkara dengan amat baik," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.