Argentina, Brazil sama kuat: Messi
Lionel Messi berkata Argentina akan berlawan tuan rumah Brazil dengan kekuatan seimbang di peringkat separuh akhir Copa Amerika selepas menewaskan Venezuela 2-0 awal pagi Jumaat (28 Jun).

Lionel Messi beraksi di padang (Gambar: AFP)
RIO DE JANEIRO: Lionel Messi berkata Argentina akan berlawan tuan rumah Brazil dengan kekuatan seimbang di peringkat separuh akhir Copa Amerika selepas menewaskan Venezuela 2-0 awal pagi Jumaat (28 Jun).
Lautaro Martinez dan Giovani Lo Celso menjaringkan gol yang memberikan kemenangan kepada Argentina semasa suku akhir di Stadium Maracana.
Ia adalah permainan terbaik Argentina di kejohanan kali ini selepas bermula hambar dengan ditewaskan Colombia 2-0 dan seri 1-1 menentang Paraguay.
“Sukar untuk meletakkan siapa pasukan pilihan antara Argentina dan Brazil, apatah lagi dalam Copa Amerika di mana sesiapa saja boleh menewaskan sesiapa,” kata bintang Barcelona berusia 32 tahun itu menjelang perlawanan separuh akhir di Belo Horizonte.
“Kami menghormati mereka, kami sedar apa yang diwakili Brazil. Kami berada di prestasi terbaik untuk menentang Brazil, tetapi kami perlu tampil lebih fokus.”
Messi bagaimanapun mengaku prestasinya secara individu tidak pada tahap terbaik tetapi sebagai pasukan, mereka "lengkap" ketika menentang Venezuela.
Sementara itu, jurulatih Venezuela Rafael Dudamel berkata kempen pasukannya di Copa meletakkan mereka di landasan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Apa yang menanti lebih mencabar dan kami membentuk pasukan yang cukup berdaya saing di Copa Amerika, itulah cara yang kami mesti teruskan,” kata Dudamel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.