Skip to main content

Sukan

Arab Saudi tuan rumah Piala Dunia 2030

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi tuan rumah Piala Dunia 2030

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Dec 2024 08:35AM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 08:37AM

RIYADH: Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Dunia bola sepak lelaki pada 2034, manakala Sepanyol, Portugal dan Maghribi akan menganjurkan acara itu pada 2030, dengan satu perlawanan di tiga negara Amerika Selatan, umum FIFA pada Rabu (11 Dis).

Keputusan tersebut diumumkan Presiden FIFA Gianni Infantino berikutan Kongres virtual. Piala Dunia 2030 dan 2034 masing-masing hanya mempunyai satu bidaan, dan kedua-duanya disambut dengan meriah.

"Tiada cara lebih baik untuk meraikan ulang tahun ke-100 pada 2030, daripada menganjurkan Piala Dunia di enam negara, di tiga benua, dengan 48 pasukan dan 104 perlawanan epik. Dunia akan menyaksikan dan meraikan ulang tahun ke-100 Piala Dunia," kata Encik Infantino.


Cadangan bersama dari Maghribi, Sepanyol dan Portugal akan menyaksikan Piala Dunia 2030 diadakan di tiga benua dan enam negara, dengan Uruguay, Argentina dan Paraguay menganjurkan perlawanan untuk menandakan ulang tahun kejohanan tersebut.

Uruguay menganjurkan Piala Dunia pertama pada 1930, manakala Argentina dan Sepanyol juga pernah menjadi tuan rumah. Portugal, Paraguay dan Maghribi akan menjadi tuan rumah buat pertama kali.

Empat tahun kemudian, Arab Saudi akan menjadi negara Timur Tengah kedua untuk menganjurkan kejohanan itu, 12 tahun selepas negara jiran Qatar menganjurnya pada 2022.

Pada 2023, FIFA menyatakan Piala Dunia 2034 akan diadakan di rantau Asia atau Oceania, dengan Konfederasi Bola Sepak Asia memberi sokongan kepada bidaan Arab Saudi.

KRITIKAN

Kedua-dua bidaan menerima kritikan.

Keputusan untuk mengadakan Piala Dunia 2030 merentas tiga benua dikritik oleh aktivis iklim, kerana pengeluaran karbon berlebihan disebabkan perjalanan tambahan.

FIFA menyatakan ia akan mengambil alngkah untuk "mengurangkan kesan ke atas alam sekitar".

Bidaan edisi 2034 oleh Arab Saudi juga dikritik kerana rekod hak asasi manusia serta iklim padang pasir negara itu, serupa dengan Piala Dunia di Qatar.


Arab Saudi sudah melabur jumlah yang banyak dalam sukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun pengkritik, termasuk kumpulan hak wanita dan anggota masyarakat LGBTQ, mendakwa ia menggunakan Dana Pelaburan Awamnya untuk membersihkan rekod hak asasi manusianya.

Negara tersebut menolak tuduhan terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan menyatakan ia melindungi keselamatan negaranya melalui undang-undangnya.

Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita