Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Arab Saudi sedia bergelar 'hab bola sepak dunia'

Anggaran Waktu Membaca:
RIYADH: Arab Saudi bersedia untuk menjadi "hab bola sepak dunia," kata pengasas dan Pengarah World Football Summit (WFS) Asia, Jan Alessie.

Demikian lapor portal berita Arab News.

Keyakinan itu disuarakan beliau pada majlis praperasmian persidangan kedua WFS, iaitu yang akan diadakan Disember depan dengan menghimpunkan penggiat industri bola sepak global di Riyadh dan dijangka disertai lebih 1,500 wakil dan pemegang taruh dalam ekosistem bola sepak.

Untuk muncul sebagai tumpuan bola sepak dunia, kerajaan Arab Saudi akan menjadi hos bagi pucuk pimpinan kelab-kelab, liga, pertubuhan dan jenama yang berkaitan dengan sukan popular itu dalam usaha mengukukuh masa depan bola sepak.

Dianjurkan dengan kerjasama Kelab Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), WFS Asia akan menampilkan lebih 150 ahli panel selain dijangka lebih 100 wakil media antarabangsa akan hadir dan membuat liputan meluas.

Sepanjang dua hari persidangan yang padat itu, setiap peserta berpeluang meluaskan perniagaan mereka melalui sesi rangkaian strategik dan perkongsian pengetahuan.

Platform ini sudah mencapai persetujuan dengan konglomerat Saudi Aljan & Bros Holding dan anak syarikat mereka, SAT Entertainment yang juga firma pengurusan acara untuk menjadi tuan rumah bagi lima edisi seterusnya persidangan di Riyadh.

WFS Asia yang pertama diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

"Menganjurkan acara seperti World Football Summit di Arab Saudi sejajar dengan objektif Visi Saudi 2030," kata Timbalan Pengerusi Ajlan & Bros Holding, Mohamed bin Abdulaziz Alajlan.

"Kami sangat yakin dengan kekuatan sukan untuk menyatukan masyarakat dari segenap pelosok dunia dan membina perkongsian komersial yang berharga.

“Populariti bola sepak yang tidak dapat ditandingi memiliki potensi untuk mencipta pekerjaan, meningkatkan pelancongan korporat dan mencipta peluang pembangunan bakat bagi profesional industri ini."

Keputusan untuk menjadi tuan rumah WFS Asia di Arab Saudi menunjukkan kedudukan negara itu yang semakin penting sebagai kuasa sukan global.

Kerajaan Arab Saudi sudah memastikan kedudukan sebagai tuan rumah Piala Asia AFC 2027, Piala Dunia Kelab FIFA selain berjaya menarik kemasukan bakat bola sepak terunggul seperti Cristiano Ronaldo.

Selain bola sepak, Arab Saudi sudah membuat kemajuan signifikan dalam sukan lain termasuk LIV, e-sukan dan banyak lagi.

Kejayaan penganjuran Piala Dunia Qatar tidak lama dahulu juga membantu memperkasakan lagi wilayah itu dalam industri sukan global.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan