Andoni Iraola dilantik pengurus baharu Liverpool ganti Arne Slot
Liverpool melantik jurulatih dari Sepanyol, Andoni Iraola sebagai pengurus baharu pada Khamis (4 Jun), menyusuli pemecatan Arne Slot selepas kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England (EPL).
Liverpool melantik jurulatih dari Sepanyol, Andoni Iraola sebagai pengurus baharu pada 4 Jun 2026. (Gambar: Liverpool Football Club)
Iraola muncul sebagai pilihan utama untuk menggantikan Slot, yang ditamatkan kontraknya secara mengejut Sabtu lalu selepas dua musim menguruskan pasukan itu.
Kelab itu tidak mendedahkan tempoh kontrak jurulatih berusia 43 tahun itu, namun laporan media Britain menyebut Iraola menandatangani perjanjian selama dua tahun.
“Sangat teruja, benar-benar teruja kerana semua orang tahu Liverpool adalah kelab besar, antara yang terbesar di dunia,” kata Iraola menerusi laman rasmi kelab itu.
“Tetapi selepas memahami dengan lebih mendalam mengenai kelab ini, saya sentiasa merasakan ia kelab yang istimewa.
“Tidak perlu banyak sebab untuk tertarik dengan Liverpool. Liverpool tetap Liverpool.”
Pelantikan Iraola diumumkan menyusuli kritikan terhadap prestasi hambar Liverpool dalam musim kedua di bawah Slot, dengan jurulatih baharu itu dijangka membawa pendekatan lebih pantas dan agresif - gaya yang sinonim ketika era Jurgen Klopp.
Iraola mencipta reputasi cemerlang dengan membawa Bournemouth menamatkan persaingan di tangga keenam EPL musim ini, sekali gus melayakkan kelab itu ke pentas Eropah buat kali pertama menerusi Liga Eropah.
Iraola menyertai kelab pantai selatan itu dari Rayo Vallecano pada 2023, selepas pernah mengendalikan Mirandes dan AEK Larnaca di Cyprus.
Di bawah bimbingannya, Bournemouth menunjukkan peningkatan konsisten dengan kedudukan ke-12, kesembilan dan akhirnya keenam dalam tempoh tiga musim.
Bekas pemain pertahanan itu turut dipuji atas kebijaksanaan taktikalnya serta keupayaannya membangunkan pemain muda termasuk Eli Junior Kroupi dan Alex Scott.
Liverpool menamatkan musim di tangga kelima.
Menjelang hujung musim lalu, bintang Mesir, Mohamed Salah secara terbuka menyeru pasukan itu agar kembali kepada gaya bola sepak “heavy metal” yang membawa kejayaan besar ketika era Klopp - sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Slot.
Awal dari itu, Iraola menyatakan hasratnya untuk menerapkan corak permainan menyerang berintensiti tinggi dan tekanan lebih hebat (high press), berbeza dengan pendekatan lebih terkawal yang diamalkan Slot.
Dilahirkan di wilayah Basque, Sepanyol, Iraola membuat lebih 500 penampilan bersama Athletic Bilbao sebelum beraksi dalam Major League Soccer bersama New York City, di mana beliau bergandingan dengan Frank Lampard dan Andrea Pirlo.
Beliau kini tiba di Merseyside sedang Liverpool berada di persimpangan penting menyusuli kegagalan Slot mengekalkan dominasi kelab itu di puncak bola sepak England.
Slot sebelum ini berdepan tugas sukar menggantikan Klopp, yang meninggalkan Anfield pada 2024 selepas tempoh gemilang selama sembilan tahun termasuk menjuarai Liga Perdana England (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah.
Pengurus dari Belanda itu bermula cemerlang apabila mendorong Liverpool menjulang gelaran liga ke-20 dalam musim pertamanya, dengan 29 gol dijaringkan oleh Mohamed Salah.
Namun, beliau gagal mengekang kemerosotan prestasi pada musim 2025/26 apabila Liverpool merudum sejak hujung September dan mengakhiri musim tanpa sebarang trofi.
Kematian penyerang Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya pada Julai lalu turut memberi kesan besar kepada pasukan Liverpool, selain perbelanjaan besar sekitar 450 juta pound (S$775.9 juta) untuk pemain baharu yang tidak membuahkan hasil.
Hubungan Slot dengan Salah juga dilaporkan merosot. Pada masa yang sama, para penyokong juga mula hilang sabar disebabkan oleh permainan yang tidak bermaya dan keputusan yang hambar.
Liverpool akhirnya menamatkan persaingan di tangga kelima, ketinggalan 25 mata di belakang juara Arsenal, namun masih layak ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.