Anak didik Akademi Barca S'pura timba pengalaman di Barcelona
Lebih 2,000 pemain Akademi Barca dari merata dunia bertarung di Piala Dunia Akademi Barca bulan lalu.
BARCELONA: Lebih 2,000 pemain Akademi Barca dari merata dunia bertarung di Piala Dunia Akademi Barca bulan lalu.
Singapura diwakili 45 pemain, termasuk empat anak Melayu penerima biasiswa Akademi Barca Singapura yang buat julung-julung kalinya ditawarkan. Bagi kebanyakan daripada mereka, ini pengalaman pertama merantau ke luar negara, apalagi menaiki penerbangan sehari semalam untuk ke Barcelona.
Anak didik Akademi Barca Singapura menyertai para pemain lain dari merata dunia bagi Piala Dunia Akademi Barca 2019.
Mereka bersaing di beberapa tempat termasuk Ciutat Esportiva Juan Gamper, tapak latihan kelab terkemuka, FC Barcelona.
"Saya rasa gembira kerana saya dapat tahu bagaimana padang itu rasa dan bagaimana Leo Messi bermain di padang itu dan juga bagaimana kita dapat menyesuaikan diri dengan padang itu," menurut Muhd Adam Mohd Faisal, seorang pemain Skuad U12.
Pada mulanya, pasukan-pasukan dari Akademi Barca Singapura kurang menyerlah kerana berhadapan cuaca sejuk dan lawan yang lebih mantap.
"Mereka tidak 'nervous' dan kami sangat gementar kerana kami bermain dengan pasukan yang besar dalam dunia ini," kata Aniq Matin Zulfadli, seorang pemain Skuad U12.
Namun, setelah beberapa perlawanan, keyakinan meningkat untuk memperbaiki kedudukan mereka.
Akhirnya, keempat-empat pasukan memenangi tiga daripada tujuh perlawanan yang ditandingi.
Seorang lagi pemain Skuad U8 berkongsi: "Menang atau kalah, tidak apa. Tapi kita kena buat yang terbaik."
Menurut pemain Skuad U12, Nur Muhd Muhd Fadly: "Saya rasa saya boleh memperbaiki permainan saya tetapi saya tetap puas hati."
Para ibu bapa yang turut menyaksikan perlawanan-perlawanan pasukan tanah air itu turut menumpang gembira.
"Alhamdulillah saya bangga, anak saya dapat peluang main sampai ke tahap ke sini. Impian saya untuk anak-anak saya, memang adalah untuk berjuang untuk Singapura satu hari nanti," menurut ibu bapa Aniq dan Audi, iaitu Cik Lizawati dan Encik Zulfadli.
Bapa Adam, Encik Mohd Faisal pula berkata: "Tak semua yang dapat pergi ke sini untuk mempelajari dan menimba pengalaman."
Piala Dunia Akademi Barca diadakan setiap tahun.
Edisi ke-8 ini mencatat rekod penyertaan tertinggi dengan 188 pasukan dari 23 negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.