Amorim gesa Manchester United kekalkan semangat dalam permainan mereka
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, berkata pasukannya mesti mengekalkan tahap kesungguhan seperti yang ditunjukkan semasa menentang Chelsea pada Sabtu (20 Sep) jika ia mahu meneruskan kemenangannya.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, meraikan kemenangan selepas perlawanan pada 21 September 2025. (Gambar: REUTERS/Phil Noble)
Dengan hanya satu kemenangan diraih musim ini sebelum perlawanan tersebut, dan selepas mencatat kedudukan liga terendah sejak mereka tersingkir pada musim 1973-74, tekanan memuncak ke atas Encik Amorim menjelang kunjungan Chelsea dalam saingan Liga Perdana.
Kad merah awal yang diterima penjaga gol Blues, Robert Sanchez, memberi United peluang untuk meraih kemenangan penting hasil jaringan Bruno Fernandes dan Casemiro. Namun, prestasi pasukan tersebut sejak awal perlawanan menunjukkan tahap intensiti yang kurang dilihat kebelakangan ini.
“Kadangkala kami ada saat-saat di mana kami rasa perlu untuk segera dapatkan keputusan,” kata Encik Amorim. “Hari ini kami menang, memang seronok untuk menang, tetapi jangan lupa untuk kembali merasakan semangat itu dalam permainan kami.
“Kami perlu menang perlawanan seterusnya. Itu yang paling penting. Dalam kelab besar seperti ini, bukan soal rasa hari ini permainan sangat baik, jadi boleh bersantai sedikit. Mari kekalkan semangat itu. Itulah perasaan paling penting yang perlu dibawa ke minggu depan.”
Dalam gaya United yang sebenar, tuan rumah tetap menyukarkan diri walaupun mereka mendahului 2-0 dengan kelebihan seorang pemain dalam persaingan yang berlangsung ditengah-tengah hujan lebat di Manchester.
Kad merah yang diterima pemain United Casemiro pada penghujung separuh masa pertama memberi talian hayat kepada pasukan pelawat, dengan tandukan Trevoh Chalobah memastikan babak akhir perlawanan menjadi tegang di Old Trafford yang penuh harapan.
“Kami menunjukkan bahawa apabila semuanya berjalan dengan lancar, kami adakan sesuatu yang menyukarkan keadaan,” kata Encik Amorim. “Tetapi kami bertahan secara bersama pada akhirnya. Itu satu perkara yang baik, jika anda lihat keseluruhan permainan, kami memang layak untuk menang.
“Kami cuba buat terlalu banyak perkara, membuat cabaran yang mungkin tidak diperlukan. Sukar untuk diperkatakan kerana itu adalah tekanan. Saya rasa kadangkala tekanan lebih dirasai beberapa pemain muda.
“Mungkin kerana Casemiro terlalu mengambil berat. Kami menjaringkan satu gol dan dia melakukan cabaran itu. Kadangkala bukan kerana tekanan, tetapi kerana terlalu mahukan sesuatu pada saat itu.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.