Alexander-Arnold teruja dapat bekerjasama dengan Mourinho di Real Madrid
Pemain pertahanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold, berkata dia tidak sabar untuk bekerja di bawah kendalian Jose Mourinho dan yakin jurulatih itu mampu membantu kelab tersebut meraih kejayaan musim ini. (Gambar: Reuters/Violeta Santos Moura)
Menurut pemain antarabangsa England itu, beliau sudah lama mengagumi Mourinho dan percaya pengalaman jurulatih tersebut mampu membantu Real Madrid kembali menjulang trofi musim ini.
Alexander-Arnold berkata dalam satu kenyataan,"Saya sentiasa mengagumi jurulatih (Mourinho). Saya pernah berdepan dengannya beberapa kali dan kini menjadi satu penghormatan untuk bekerja bersama beliau serta barisan kejurulatihannya."
Menyifatkan sesi latihan di bawah Mourinho sebagai cukup mencabar,
Alexander-Arnold juga menambah ia memerlukan tahap disiplin dan tuntutan yang tinggi.
"Intensitinya sangat tinggi. Prinsip permainan dan tahap tuntutan juga amat tinggi. Saya tidak sabar untuk terus mengenali beliau dengan lebih dekat, belajar lebih banyak perkara dan memperbaiki permainan saya.
"Saya yakin beliau akan mengajar kami banyak perkara dan membantu kami memenangi trofi musim ini," tambah beliau.
Mourinho kembali membimbing Real Madrid pada Jun lalu bagi penggal kedua selepas kelab itu mengharungi musim yang mengecewakan apabila gagal mempertahankan kejuaraan La Liga serta tersingkir di peringkat suku akhir Kejohanan Liga Juara-Juara UEFA.
Alexander-Arnold, yang menyertai Real Madrid dari Liverpool tahun lalu, berdepan musim sulung yang dibelenggu kecederaan sehingga gagal mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, pemergian Dani Carvajal pada Mei lalu membuka peluang kepada pemain berusia 27 tahun itu untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai bek kanan utama Real Madrid.
"Saya telah berehat agak lama kerana mengalami kecederaan, jadi saya gembira dapat kembali beraksi dan membina asas yang kukuh untuk menghadapi musim baharu," katanya.
Real Madrid akan memulakan kempen La Liga 2026/27 menentang Espanyol pada 22 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.