Skip to main content

Sukan

Air mata, tepukan gemuruh iringi pemergian Messi dari Barcelona

Lionel Messi, yang sudah bersama Barcelona selama 21 tahun, umumkan pada Ahad (8 Ogos) terpaksa meninggalkan kelab itu kerana ia tidak mampu membayar gajinya walaupun selepas dipotong 50 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Air mata, tepukan gemuruh iringi pemergian Messi dari Barcelona

Lionel Messi semasa sidang media mengumumkan perpisahan daripada FC Barcelona pada 8 Ogos 2021 (Gambar: REUTERS/Albert Gea)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 09:18AM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 09:22AM

BARCELONA: Sidang media perpisahan Lionel Messi daripada FC Barcelona pada Ahad (8 Ogos) mengambil masa lebih seminit untuk bermula.

Ini setelah pemain itu memerlukan masa untuk menenangkan dirinya, mengelap air mata dan menunggu sehingga tepukan gemuruh yang panjang untuknya berakhir.

Pemain Argentina itu menghabiskan sepanjang kerjayanya setakat ini bermain bagi kelab tersebut.

"Saya tidak tahu jika saya dapat berkata-kata," kata Messi memulakan sidang media tersebut, dengan linangan air mata.

"Ini adalah saat paling sukar sepanjang kerjaya saya," kata beliau.

Messi, 34 tahun, yang sudah bersama Barcelona selama 21 tahun, sekali sekala mengusap air matanya sepanjang acara menggunakan kertas tisu yang dihulurkan isterinya Antonella Roccuzzo, yang duduk di barisan hadapan bersama tiga anak mereka.

Sidang itu tamat dengan satu lagi pusingan tepukan gemuruh.

"Saya membesar dalam kelab ini dan saya menjadi lelaki dewasa seperti hari ini di sini ... Saya berasa sangat sedih kerana saya terpaksa meninggalkan kelab ini, kelab yang saya sayangi. Saya tidak menjangkakannya," kata Messi, sambil menambah bahawa beliau sekeluarga selama ini yakin bahawa mereka akan kekal bersama Barcelona, dan "mahukannya lebih daripada apa-apa yang lain".

Bagaimanapun, beliau berkata beliau ingin terus bertanding dan memenangi piala "selagi saya mampu", dan sedang berunding dengan Paris St Germain mengenai kemungkinan kontrak.

Pemenang enam kali Ballon d'Or itu pernah beberapa kali menitiskan air mata sebelum ini, setelah Barcelona kalah mengejut 3-2 kepada Chelsea di separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2012, yang membuat beliau bersujud di atas padang dan menangis, dan semasa kalah pada perlawanan akhir Copa America 2016 apabila Argentina menentang Chile.

Messi turut menitiskan air mata ketika rakan sepasukan Andres Iniesta meninggalkan Barca pada 2018, dan beliau juga menangis, kali ini dengan air mata kegembiraan, apabila Argentina menjulang piala Copa America bulan lalu setelah mengalahkan Brazil 1-0.

Kedua-dua Messi dan Barca, yang banyak mengalami kekalahan baru-baru ini, ingin menandatangani kontrak baru.

Namun perjanjian dengan pemain Argentina itu bermakna gaji beliau akan menggunakan sebanyak 110 peratus pendapatan kelab, walaupun setelah beliau bersetuju dengan potongan gaji 50 peratus. Kelab itu berkata hal tersebut akan mengancam masa depannya memandangkan kesan pandemik COVID-19 serta keperluan mematuhi syarat kewangan pertandingan La Liga Sepanyol. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita