Skip to main content

Sukan

AFC batalkan dua kemenangan Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia

Dua kemenangan Harimau Malaya, masing-masing ke atas Nepal dan Vietnam, dalam pusingan kelayakan Piala Asia tahun lalu dibatalkan, sekali gus menyaksikan skuad Malaysia kehilangan enam mata dalam pertandingan berkenaan.
Anggaran Waktu Membaca:
AFC batalkan dua kemenangan Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia

Pemain Malaysia bergambar sebelum permulaan pusingan kelayakan Piala Asia AFC antara Malaysia dengan Vietnam di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 17 Mar 2026 04:30PM Dikemas Kini : 17 Mar 2026 04:32PM
  • FAM kehilangan dua kemenangan dalam kelayakan Piala Asia selepas Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati pelanggaran peraturan.
  • Malaysia menurunkan pemain tidak layak, menyebabkan skuad Harimau Malaya kehilangan enam mata dan diisytihar kalah 0-3 dalam dua perlawanan.
  • FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 dan kini tidak layak ke Piala Asia 2027.
  • FAM akan membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan alasan keputusan sebelum mempertimbang langkah seterusnya.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Dua kemenangan Harimau Malaya, masing-masing ke atas Nepal dan Vietnam, dalam pusingan kelayakan Piala Asia tahun lalu dibatalkan, sekali gus menyaksikan skuad Malaysia kehilangan enam mata dalam pertandingan berkenaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa ia susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bersidang pada Selasa (17 Mac), berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.

"Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Jahangir Baglari, mendapati FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 0-3 dalam kedua-dua perlawanan itu berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

"Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (S$63,925)," katanya.

FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya.

Dengan penolakan enam mata itu, skuad Malaysia kini tidak layak ke Piala Asia 2027.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita