Skip to main content

Sukan

Adik beradik Ng guna wang simpanan bantu Selangor FC bayar denda

Anggaran Waktu Membaca:
Adik beradik Ng guna wang simpanan bantu Selangor FC bayar denda

(Gambar: Facebook/ Ng Chee Kean)

Diterbitkan : 29 Jun 2024 11:16PM
SELANGOR: Dua beradik yang digelar sebagai Upin dan Ipin menunjukkan semangat luar biasa dalam usaha mereka untuk membantu pasukan Selangor FC, atau dikenali dengan gelaran The Red Giants, membayar denda yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ng Ho Wie dan Ng Ho Race, yang masing-masing berusia sembilan dan lapan tahun, mengambil inisiatif ‘pecah tabung’ simpanan wang ‘motivasi’ yang diberi oleh bapa mereka, Ng Chee Kean.

“Mereka tahu tentang isu yang sedang berlaku antara Selangor FC dengan MFL.

“Jadi mereka dengan inisiatif sendiri hendak derma kepada Selangor FC bagi membantu kelab itu membayar denda yang dikenakan MFL,” jelas bapanya, seperti dinukil laporan Malaysiakini.

Kata Encik Ng, semangat Upin dan Ipin dalam menjiwai dunia bola sepak serta sokongan padu terhadap skuad Gergasi Merah itu mendorong anaknya berbuat demikian.

Ho Wie dan Ho Race mula berkecimpung dalam bolasepak sejak tiga tahun lalu sebelum mereka menyertai Selangor FC Soccer School pada tahun ini.

Mereka mula menyertai akademi bolas epak pertama, Zamri Hassan Soccer Star pada tahun 2022 dan TSS Selangor pada tahun 2023, sebelum mereka menyertai akademi yang ditubuhkan Selangor FC, lapor Malaysiakini.

Terdahulu, Selangor FC didenda RM100,000 (S$29,000) dan dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Susulan itu, MFL mengurangkan denda terhadap Selangor FC daripada RM100,000 (S$29,000) kepada RM60,000 (S$17,000) manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dengan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut dibatalkan.

Dalam pada itu, Encik Ng memberitahu Malaysiakini mengenai sumber tabungan anak-anaknya itu.

“Wang yang mereka dapat itu diberikan oleh saya pada setiap latihan dan jika mereka menjaringkan gol semasa perlawanan sebagai motivasi untuk terus bersemangat.

“Mereka akan terima sebanyak RM2 (S$0.60) hingga RM3 (S$0.90) setiap seorang.

“Tabung itu saya anggarkan telah mencecah RM300 (S$86), saya pun tidak pasti kerana ia terdiri daripada campuran duit syiling dan kertas,” jelasnya apabila ditanya mengenai jumlah wang terkumpul.

Encik Ng berkata perkongsiannya di media sosial tentang dua anaknya itu bertujuan memberikan inspirasi kepada ibu bapa lain.

Ini menurut Encik Ng terutamanya untuk masyarakat Cina yang dilihat kurang berkecimpung dalam sukan bola sepak.

Jelasnya lagi, anak-anak akan lebih bersemangat dalam sesuatu bidang yang diceburi jika ibu bapa sentiasa memberikan dorongan positif kepada mereka.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita