Acara sepak takraw regu berpasukan tetap dianjurkan di Sukan SEA Kemboja, meski kurang penyertaan
KUALA LUMPUR: Acara sepak takraw regu berpasukan akan tetap dianjurkan pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023, walaupun mempunyai kurang daripada empat negara yang mengambil bahagian dalam acara itu.
Demikian menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC).
Setiausaha Agung CAMSOC, Vath Chamroeun, berkata keputusan itu dibuat untuk memperakui dan menghargai sumber dan masa yang diluangkan oleh pemain, jurulatih dan pegawai pasukan sebagai persediaan untuk acara tersebut pada temasya dwitahunan itu.
Justeru, katanya, acara itu akan disertai oleh juara bertahan, Thailand, Malaysia, pemenang pingat perak Sukan SEA 2021, dan tuan rumah, Kemboja.
“Saya juga boleh mengesahkan bahawa CAMSOC mengekalkan keputusannya untuk membenarkan tiga NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) yang bertanding dianugerahkan pingat emas, perak dan gangsa mengikut keputusan akhir pertandingan,” katanya dalam surat kepada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Abdul Halim Kader, pada Ahad (23 Apr).
Sementara itu, ASTAF, dalam kenyataannya, mengesahkan acara regu berpasukan akan dipertandingkan mengikut format ‘round robin’ menyusuli penyertaan kurang daripada lima negara.
Sukan SEA ke-32 akan berlangsung di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.