Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Acara antara regu sepak takraw digugurkan daripada Sukan SEA Kemboja 2023

Anggaran Waktu Membaca:

PHNOM PENH: Acara antara regu sepak takraw digugurkan daripada Sukan SEA Kemboja 2023 dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Phnom Penh pada Rabu (13 Jul).

Demikian menurut laporan BebasNews. 

Sebaliknya, yang bakal menyertai temasya sukan serantau yang diadakan setiap dua tahun itu ialah acara regu berpasukan, kuadran, gelung dan chinlone (lelaki dan wanita) yang mempertaruhkan 16 pingat emas. 

Chinlone diperkenalkan sebagai satu lagi cabang sepak takraw mulai Sukan SEA Naypyidaw 2013 dan kali terakhir disaksikan di Kuala Lumpu pada 2017. 

Sukan kebangsaan Myanmar itu memiliki lima acara - antaranya Linking, Same Stroke Primary dan Secondary serta Non-Repetition Primary dan Secondary. 

Gelung pula diperkenalkan dalam Sukan SEA di Cebu, Filipina pada 2005 dan hanya kembali diadakan tiga tahun lalu di Subic. 

Sepak takraw Sukan SEA Vietnam pada Mei lalu mempertandingkan acara regu berpasukan, antara regu, beregu dan kuadran lelaki dan wanita dengan siap negara peserta hanya boleh bermain tiga acara, kecuali tuan rumah. 

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader berkata, “kami telah menyarankan dan memberi pandangan mengenai acara antara regu ini tetapi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (Camsoc) tampak kurang berminat dan telah menolaknya.

“Astaf juga percaya keputusan yang dicapai mesyuarat SEAGF ini telah mengambil kira kepentingan tuan rumah selain semangat persahabatan dan keharmonian serantau, bukan semata-mata untuk negara-negara tertentu memburu pingat emas,” katanya kepada BebasNews.

Acara antara regu mula diadakan dalam Sukan SEA pada 1981 di Manila dengan Thailand menjadi pemenang pingat emas sulungnya.

Diasaskan pada 1959, Sukan SEA bakal membuat penampilan sulungnya di Kemboja dari 5 hingga 16 Mei 2023.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan