Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

7 kelab bola sepak ini pernah bersaing dalam Liga S suatu ketika dahulu

Anggaran Waktu Membaca:
7 kelab bola sepak ini pernah bersaing dalam Liga S suatu ketika dahulu

Gambar: Liga Perdana Singapura

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan pada Rabu (6 Dis) bahawa ia sedang mencari kelab ke-10 untuk mengambil bahagian dalam Liga Perdana Singapura (SPL).

SPL, yang dahulunya dikenali sebagai S.League (Liga S), dilancarkan secara rasmi pada 1996 yang menampilkan lapan kelab tempatan. Sejak itu, banyak pasukan - sama ada asing dan tempatan - telah menyertai dan meninggalkan satu-satunya liga sukan profesional di Singapura.
Berikut adalah antara tujuh daripada pasukan-pasukan tersebut.

WARRIORS FC

Dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Angkatan Bersenjata Singapura (SAFFC) sebelum ini, Warriors FC adalah kelab paling berjaya dalam sejarah SPL, dinobatkan juara liga sebanyak sembilan kali antara 1997 dan 2014. Pasukan itu juga memenangi Piala Singapura sebanyak empat kali semasa kemuncak kegemilangannya.

Digelar Rhinos, Warriors adalah salah satu pengasas Liga S. Stadium Choa Chu Kang menjadi gelanggang pasukan itu dan legenda bola sepak Singapura Fandi Ahmad adalah antara pemain dan jurulatih terkenal mereka.

Warriors FC bagaimanapun mula dibebani dengan masalah kewangan. Pada hujung tahun berikutnya, FAS mengarahkan Warriors dikecualikan daripada musim SPL 2020 selepas ia gagal melunaskan gaji para pemain dan kakitangan mereka.

Sejak itu, Warriors tidak lagi bertanding dalam SPL.
Gambar: Singapore Premier League/X


WOODLANDS WELLINGTON

Ditubuhkan sebagai Wellington FC, Woodlands Wellington menggunakan nama tersebut ketika menyertai Liga S untuk musim sulungnya pada 1996.

Bermain di Stadium Woodlands, Rams menduduki tangga pertengahan liga dalam dekad pertama Liga S, menamatkan saingan setinggi tangga kedua dalam siri pertama dua bahagian musim 1996.

Woodlands Wellington menyaksikan tempoh paling berjaya bagi kelab itu antara 2005 dan 2008, memenangi Piala Liga Singapura pada 2007, mara ke peringkat akhir Piala Singapura pada 2005 dan 2008, dan menduduki tangga ketiga dalam Liga S pada 2005.


SEMBAWANG RANGERS

Satu lagi kelab pengasas Liga S dari bahagian utara Singapura, Sembawang Rangers ditubuhkan melalui penggabungan Gibraltar Crescent dan Kelab Sukan Sembawang untuk musim pertama Liga S.


Dikenali sebagai Stallions, pasukan itu bermain di Stadium Yishun antara 1996 dan 2003.


Malangnya, Sembawang Rangers gagal menandingi kejayaan pesaingnya Woodlands Wellington, setakat menduduki tangga keenam, iaitu yang tertinggi sepanjang lapan musim bertanding dalam Liga S.

Pemain Gombak United Gabriel Obatola. (Gambar: Singapore Premier League/X)


GOMBAK UNITED

Pada mulanya ia dikenali sebagai Redhill Rangers, kelab itu kemudian dinamakan semula sebagai Gombak United apabila menyertai Liga S pada 1998.

Pasukan bergelar Bulls bagaimanapun menarik diri daripada Liga S selepas musim 2002 atas masalah kewangan tetapi kembali bertanding pada 2006 selepas berpindah dari Stadium Bukit Gombak ke Stadium Jurong West.


Pasukan itu mencatatkan musim terbaik mereka pada 2008 semasa memenangi piala pertama dan satu-satunya piala mereka ketika menumpaskan Super Reds 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Liga tahun tersebut.


JURONG FC

Ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai Jurong Town, Jurong FC menggugurkan "Town" daripada nama mereka apabila mereka menyertai Liga S untuk musim kedua pada tahun 1997.


Pasukan bergelar Cobras itu berjaya menarik ramai orang ke perlawanannya di padang Stadium Jurong East, dengan bekas pemain hebat Singapura, V Sundramoorthy mengambil tampuk kepimpinan sebagai jurulatih pasukan tersebut.


Sekalipun Jurong tidak menduduki tangga lebih tinggi daripada tempat kelima dalam tujuh musim mereka bersaing dalam Liga S, mereka mara ke peringkat akhir Piala Singapura sebanyak dua kali semasa Sundram memimpin pasukan itu, tewas di tangan SAFFC pada 1999 sebelum tumbang kepada Tampines Rovers tiga tahun kemudian.

Seperti Sembawang Rangers, Jurong FC juga mengundurkan diri daripada Liga S pada 2003.

SINCHI FC

Walaupun 2003 menandakan penghujung jalan bagi Stallions dan Cobras, ia juga merupakan tahun yang menyaksikan penyertaan pasukan asing yang pertama dalam Liga S.


Pasukan yang terdiri daripada para pemain dari China, Sinchi FC, dibawa masuk untuk meningkatkan daya saing Liga S. Pasukan itu bagaimanapun kurang menyerlah, setakat menamatkan musim tidak lebih daripada tangga ketujuh dalam tiga musim mereka bersaing dalam Liga S.

Gambar: Singapore Premier League/Facebook


ETOILE FC

Menyertai Liga S pada 2010, Etoile, yang bermaksud "bintang" dalam bahasa Perancis, kebanyakannya terdiri daripada pemain yang berasal dari Perancis.


Tuah menyebelahi Etoile pada musim pertama pasukan itu, dengan mereka menjulang Piala Liga pada bulan Mac.


Etoile kemudian mencipta sejarah dengan menjadi pasukan asing yang pertama untuk menjuarai Liga S, mencatatkan kemenangan 4-2 semasa menentang Albirex Niigata.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan