Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

50,000 dijangka sertai Maraton Standard Chartered S'pura 2022

Anggaran Waktu Membaca:
50,000 dijangka sertai Maraton Standard Chartered S'pura 2022

(Gambar: Standard Chartered Singapore Marathon/Facebook)

SINGAPURA: Maraton Standard Chartered Singapura akan kembali sebagai acara skala penuh pada bulan Disember ini, dengan sehingga 50,000 peserta dijangka akan menyertainya.

Ini setelah dua edisi acara itu diubah suai dan dikecilkan skalanya disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Buat julung-julung kalinya sejak 2019, larian tahun ini akan menyaksikan para peserta memulakan larian secara beramai-ramai dengan format larian di jalan raya, dengan kedua-dua separuh maraton dan maraton penuh ditawarkan, menurut pihak penganjur dalam satu kenyataan media pada Rabu (22 Jun). 

Edisi 2020 menampilkan "format larian hibrid" yang turut menyelitkan realiti tambahan, manakala pada 2021 pula, larian fizikal kembali diadakan sekalipun pada skala yang dihadkan. 

"Edisi tahun lalu, acara larian fizikal terbesar yang diadakan di Singapura sejak dilanda pandemik COVID-19, menyaksikan 4,000 peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan seramai 50 pelari setiap kumpulan - dengan tiga peserta setiap 10 saat - demi menjaga jarak selamat," menurut pihak penganjur. 

"Selain itu, hanya kategori 5 kilometer, 10 kilometer dan larian berganti-ganti diadakan secara fizikal untuk memastikan jumlah peserta kekal rendah. 

"Dengan acara-acara di Singapura dibuka semula sehingga kapasiti penuh, Maraton StanChart tahun ini dijangka akan memikat sehingga 50,000 peserta sepanjang acara selama dua hari itu dari 3 hingga 4 Disember." 

Langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada akan dikuatkuasakan dan jalan raya akan ditutup sepanjang acara itu. 

Acara hujung minggu itu akan bermula pada 3 Dis dengan larian sejauh 5 dan 10 kilometer. Separuh maraton 21.1 kilometer dan maraton penuh 42.195 kilometer pula akan diadakan pada 4 Dis. 

Para peserta boleh memilih untuk menyahut Cabaran Double Up di mana mereka dikehendaki berlari sejauh 5 atau 10 kilometer yang kemudian disusuli dengan separuh maraton atau maraton penuh selama dua hari berturut-turut. 

Larian bagi kanak-kanak juga akan diadakan, dengan perinciannya akan diumumkan pada satu tarikh kelak. 

Pendaftaran keutamaan untuk acara itu akan bermula pada 10.00 pagi Khamis (23 Jun). Ia dibuka kepada anggota kelab Maraton 300km Standard Chartered Singapura dan para peserta yang menyertai maraton penuh pada 2019. 

Pendaftaran bagi orang ramai pula akan bermula pada 10.00 pagi Jumaat (24 Jun). 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan