Skip to main content

Sukan

4 srikandi negara rangkul pingat emas Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022

Singapura merangkul empat pingat emas pada hari kedua Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara ke-8 yang berlangsung di OCBC Arena hari ini (26 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura merangkul empat pingat emas pada hari kedua Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara ke-8 yang berlangsung di OCBC Arena hari ini (26 Feb).

Pesilat negara Siti Khadijah Mohd Shahrem, 20 tahun, menang 22-21 dalam peringkat akhir Kelas E (atas 65kg-60kg) ke atas lawannya dari Vietnam Nguyen Thi Cam Nhi.

"Saya baru bertanding dalam kelas ini dan saya yakin lawan kerana saya sedang bersiap sedia untuk Sukan SEA.

"Namun tentu sekali, saya rasa saya boleh lakukan lebih baik lagi dan masih ada ruang untuk diperbaiki.

"Saya tidak begitu berpuas hati dengan prestasi saya namun tentu sekali saya akan bekerja lebih keras selepas ini, dan beraksi lagi. Ia satu pengalaman yang baik dan saya berbesar hati diberi peluang ini," katanya.

Pusingan akhir kategori Kelas E Wanita merupakan perlawanan pusingan akhir yang terakhir ditandingi hari ini.

Pesilat Malaysia, Nur Syafiqah Hamzah menang pingat pertama dalam kategori jurus tunggal putri dengan mata kemenangan 9.93, mengalahkan wakil Singapura Siti Nazurah Md Yusoff.

Pingat emas juga disumbang regu putri yang diwakili Amirah Sahrin, Iffah Batrisyia Noh dan Nur Ashikin Zulkifli dengan kutipan mata 9.945, mengatasi lawan dari Malaysia.

Berkongsi tentang kemenangan itu, Iffah berkata: "Ini tentu sekali salah satu daripada (prestasi) terbaik kami namun ia bukan yang terbaik dapat kami lakukan.

"Jadi kami akan jadikan ini sebagai iktibar dan akan lakukan yang terbaik dalam pertandingan akan datang.

"Kemenangan pada hari ini sangat bermakna buat kami kerana ia merupakan kali pertama kami bertanding bersama."

Sehubungan itu, Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara ke-8 ini merupakan pertandingan pertama dengan perubahan pada peraturan dalam kategori tanding yang diluluskan Februari lalu.

Peraturan itu yang kali terakhir diubah pada 2013, memberi kelonggran kepada pesaing termasuk membenarkan teknik menarik pakaian lawan atau tendangan demi meraih mata.

Berkongsi peraturan baru itu, pesilat negara Sheikh Farhan Sheikh Alau'ddin berkata: "Sejujurnya, strategi lawan saya tidak berubah. Saya tidak secara aktif cuba mendapat mata dengan teknik baru kerana saya tidak rasa saya dapat lakukannya dengan begitu berkesan."

(Gambar: Persekutuan Silat Singapura)

Sheikh Farhan mengalahkan pesilat dari Malaysia Mohamad Robial Sobri 29-14 dalam pusingan separuh akhir kategori Kelas J (90kg-95kg).

Atlit dari lima negara - Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam terlibat dalam kejohanan kali ini yang berlangsung selama tiga hari dari 25 Feb.

Kejohanan tersebut disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube Persekutuan Silat Singapura (PERSISI).

Kemas kini acara, sorotan dan markah boleh didapatkan di halaman Facebook dan Instagram PERSISI.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita