4 perenang S'pura positif COVID-19 di Kejohanan Dunia FINA; pasukan tidak dapat bersaing
Empat perenang Singapura diuji positif COVID-19 di Kejohanan Renang Dunia FINA (25m) 2021 di Abu Dhabi, menurut Persatuan Renang Singapura (SSA) pada Khamis (16 Dis).

(Gambar: FINA)
SINGAPURA: Empat perenang Singapura diuji positif COVID-19 di Kejohanan Renang Dunia FINA (25m) 2021 di Abu Dhabi, menurut Persatuan Renang Singapura (SSA) pada Khamis (16 Dis).
Dengan seluruh kontinjen Singapura di Amiriah Arab Bersatu dianggap sebagai kontak rapat kes positif tersebut, tidak seorang pun daripada anggota pasukan itu boleh bersaing di kejohanan berkenaan.
"Persatuan Renang Singapura dimaklumkan oleh FINA bahawa empat daripada 14 perenang kami di Kejohanan Dunia FINA (25m) 2021 di Abu Dhabi diuji positif COVID-19 menyusuli ujian tindak balas berantai polimerase sebagai sebahagian daripada protokol ujian di kejohanan tersebut," menurut SSA dalam satu kenyataan.
"SSA berhubung rapat dengan perenang, keluarga mereka dan pihak berkuasa, menyediakan semua bantuan yang perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan perenang kami. "
Perenang yang terjejas dipindahkan ke sebuah kemudahan kuarantin khusus, manakala anggota pasukan yang lain sedang menjalani kuarantin kendiri, menurut SSA.
Persatuan itu menyatakan ia "akan mematuhi semua protokol sedia ada yang ditetapkan oleh negara tuan rumah" setelah ia dimaklumkan oleh FINA bahawa perenang Singapura tidak dapat bersaing dalam kejohanan itu.
SSA sedang membuat aturan bagi anggota kontinjen itu yang tidak diuji positif COVID-19 untuk pulang ke Singapura.
Pengarah teknikal SSA Sonya Porter akan terus berada di Abu Dhabi bagi menjaga perenang yang terjejas dan akan pulang ke Singapura bersama mereka apabila dibenarkan untuk melakukan perjalanan.
Menurut catatan Facebook SSA pada 9 Disember, 14 perenang di Abu Dhabi itu ialah: Ardi Azman, Amanda Lim, Ashley Lim, Chan Zi Yi, Darren Chua, Glen Lim, Jamie Koo, Maximillian Ang, Mikkel Lee, Nur Marina Chan, Ong Jung Yi, Pang Sheng Jun, Quah Jing Wen dan Teong Tzen Wei.
SSA tidak mendedahkan nama perenang yang diuji positif COVID-19.
Kejohanan Renang Dunia FINA ke-15 (25m) bermula pada Khamis dan akan berlangsung sehingga 21 Disember.
Acara itu berlangsung di kolam renang sepanjang 25 meter, berbanding kolam renang berukuran 50 meter di temasya sukan Olimpik dan acara berbilang sukan utama yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.