Skip to main content

Sukan

4 lagi atlit dipilih wakili Singapura di Paralimpik Tokyo

Empat lagi atlit, termasuk wakil angkat berat 'powerlifting' pertama Singapura, Nur 'Aini Mohamad Yasli, dipilih untuk bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo.

Anggaran Waktu Membaca:
4 lagi atlit dipilih wakili Singapura di Paralimpik Tokyo

(Gambar ihsan: Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC))

Diterbitkan : 09 Jul 2021 05:41PM Dikemas Kini : 09 Jul 2021 05:50PM

SINGAPURA: Empat lagi atlit, termasuk wakil angkat berat 'powerlifting' pertama Singapura, Nur 'Aini Mohamad Yasli, dipilih untuk bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo.

Atlit tunggang kuda Laurentia Tan, yang pernah meraih pingat perak di Sukan Paralimpik, serta Gemma Foo dan Maximillian Tan juga dipilih untuk mewakili negara, umum Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) pada Jumaat (9 Jul).

Nur 'Aini, yang merupakan anggota wanita pertama pasukan 'powerlifting-para' negara Singapura, mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana menjadi "tunggak sokongan utama" dalam meraih pencapaian itu.

"Memang impian saya untuk bertanding di Paralimpik. Saya percaya sesuatu yang hebat boleh dicapai jika anda percaya diri dan kebolehan anda," kata beliau.

Temasya Tokyo 2020 adalah Sukan Paralimpik keempat bagi Laurentia Tan, yang bersama Foo dan Maximillian Tan akan menyertai acara 'dressage' Paralimpik ketiga bagi kumpulan itu.

"Tidak ada perasaan yang lebih hebat daripada mewakili negara sendiri di peringkat yang tertinggi. Setelah apa yang kami lalui sepanjang tahun lalu, saya sangat gembira segala usaha dan pengorbanan pasukan kami berhasil," kata Laurentia Tan.

"Kini, sama seperti pada edisi lalu, kami akan memberi yang terbaik dan berjuang untuk membanggakan Singapura."

Empat atlit itu akan menyertai enam olahragawan lain yang telah dipilih lebih awal untuk mewakili Singapura di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada 24 Ogos.

Pasukan Paralimpik negara bakal bertanding dalam enam sukan: Memanah, olahraga, berbasikal, sukan tunggang kuda, powerlifting dan berenang.

Pemilihan bagi atlit Paralimpik diteruskan sehingga hujung Julai.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita