21 negara sahkan slot sertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024
Sebanyak 21 negara sudah mengesahkan slot untuk menyertai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 18 hingga 26 Mei ini.

(Gambar: BERNAMA)
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Sumali Reduan dengan memaklumkan pihaknya menerima surat rasmi daripada 12 pasukan yang akan berentap bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1 untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.
“Untuk Premier ada 12 negara iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina. Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh,” katanya pada sidang media PSM di Stadium Titiwangsa hari ini (14 Feb).
Menurutnya, keputusan penyertaan 21 negara itu dimuktamadkan dan tidak akan ada penambahan pasukan pada masa akan datang.
PSM, katanya akan mengadakan Majlis Perasmian Piala kejohanan itu bersama majlis pengundian pada 6 Mac ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC.
“Undian kita buat lebih awal dari sebelum-sebelum ini. Kali ini kita bincang dan mohon kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) supaya negara-negara tahu kumpulan mereka dan boleh buat persiapan awal,” katanya.
Mohd Sumali berkata Piala Dunia kali ini bakal menyaksikan kategori Premier mempertandingkan acara berpasukan yang mempunyai Piala Khas selain acara beregu dan regu turut dipertandingkan bagi kategori itu.
“Divisyen 1 hanya mempertandingkan dua acara iaitu beregu dan regu, tiada berpasukan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.