2 petinju Jepun maut akibat kecederaan otak susuli perlawanan di acara sama
Dua petinju Jepun meninggal dunia beberapa hari selepas mengalami kecederaan otak dalam perlawanan berasingan pada acara yang sama, menurut persatuan tinju dan laporan media.
Imej komposit Shigetoshi Kotari (kiri) dan HIromasa Urakawa. (Gambar: Instagram/worldboxingorg)
Shigetoshi Kotari meninggal dunia pada Jumaat (8 Ogos) dan Hiromasa Urakawa meninggal dunia pada 9 Ogos selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan masing-masing di Dewan Korakuen di Tokyo pada 2 Ogos, lapor media Jepun.
Kedua-dua petinju muda berusia 28 tahun itu menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam otak, menurut laporan tersebut.
"Kami mengucapkan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga, rakan-rakan dan komuniti tinju Jepun dalam masa yang amat sukar ini," menurut Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) dalam satu kenyataan pada Sabtu (9 Ogos) mengenai Urakawa, yang kalah kepada Yoti Saito menerusi tumbukan KO.
Kotari meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika bertarung dengan Yamato Hata untuk meraih markah seri selepas 12 pusingan, menurut Majlis Tinju Sedunia (WBC) pada Jumaat.
"WBC dan presidennya, Mauricio Sulaiman amat sedih tentang kehilangan ini dan mendoakan agar keluarga dan teman-temannya diberi kekuatan dalam menghadapi waktu sukar ini," menurut WBC dalam satu kenyataan.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa bulan selepas petinju Ireland, John Cooney, 28 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan otak seminggu selepas perlawanan mempertahankan gelaran Celtic pertamanya pada Februari lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.