Skip to main content

Sukan

2 atlet para SG ini raih pingat emas di Sukan Para ASEAN meski hebat diuji

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun hampir 11 tahun tidak beraksi di pentas Sukan Para ASEAN, atlet para boccia Singapura, Nurulasyiqah Mohammad Taha, berjaya merangkul dua pingat emas dalam edisi yang dianjurkan di Thailand baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih dalam dua acara Boccia BC3, iaitu kategori individu dan berpasangan.

"Alhamdulillah, saya rasa gembira dan lega," luah Nurulasyiqah ketika diminta mengulas tentang kemenangannya.

"Ini kali pertama saya bertanding di Sukan Para ASEAN selepas kali terakhir pada tahun 2015 di Singapura. Selepas itu, kerana komitmen kerja dan juga pandemik COVID-19, saya tidak dapat menyertai kejohanan itu."

Kejayaan tersebut bagaimanapun tidak datang bergolek. Nurulasyiqah, 41 tahun, perlu mengimbangi masa antara kerjaya dengan latihan untuk mengekalkan prestasi pada tahap optimum.
 
Related article image
(Gambar: Sportsg/dejbordin limsupanark)
Namun, berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam arena sukan, beliau bijak mengurus masa dengan teliti, satu kemahiran penting yang membolehkannya kekal kompetitif sehingga kini.

Menariknya, Sukan Para ASEAN 2026 bukan sasaran utama Nurulasyiqah bagi tahun ini.

Kejohanan itu dianggap sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan yang lebih besar.

"Memandangkan ini pertandingan pertama bagi tahun ini, kami tidak meletakkan tekanan yang terlalu tinggi," jelasnya.

Nurulasyiqah juga melihat dua pingat emas yang diraih sebagai sebahagian daripada perjalanan yang masih panjang.

"Buat masa ini belum waktu untuk berehat. Ini baru permulaan," katanya. "Dari segi skala, Sukan Para ASEAN adalah peringkat paling kecil. Selepas ini, kami sasarkan kejohanan dunia."

Antara kejohanan besar yang menanti adalah Kejohanan Dunia Boccia di Seoul pada September, disusuli Sukan Para ASEAN di Nagoya, Jepun pada Oktober, sebagai sebahagian daripada misi jangka panjang untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Los Angeles.

"Matlamat saya mudah, lakukan yang terbaik dalam apa jua yang saya ceburi, sama ada dalam sukan atau kerjaya. Dalam sukan, latihan secara konsisten adalah kunci supaya ia dapat diterjemahkan kepada prestasi yang baik."

Dengan semangat juang yang tidak pernah pudar, Nurulasyiqah membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya tentang kemenangan dalam gelanggang, tetapi tentang ketabahan menghadapi cabaran dan bangkit lebih kuat setiap kali diuji.
Related article image
(Gambar: SNPC/Goh Si Wei)
KECEDERAAN DORONG DIROY BANGKIT SEMULA

Perjalanan Muhammad Diroy Nordin sebagai atlet para sukan padang juga bukanlah sesuatu yang mudah.

Atlet yang mengalami 'dwarfism' (kekerdilan) ini telah berkecimpung dalam dunia sukan selama lebih sedekad tetapi perjalanannya ke peringkat elit penuh dengan pengorbanan dan ujian mental serta fizikal.

Usaha dan ketekunan itu membuahkan hasil apabila Diroy berjaya merangkul pingat emas dalam acara lontar peluru F40 di Sukan Para ASEAN dengan lontaran sejauh 8.36 meter.

Diroy awalnya bukan atlet sepenuh masa. Maka itu, latihannya terhad kepada sekitar satu hingga dua kali seminggu sahaja. Ini dilakukan sedang beliau bekerja bagi menyara diri dan keluarga.

Namun, latihan berterusan itu mula menunjukkan hasil apabila prestasinya semakin konsisten, rankingnya bertambah baik dan bakatnya mula menyerlah.

"Bila prestasi meningkat, orang lihat potensi saya dan cadangkan saya latih lebih serius," ceritanya.

Kejayaannya di temasya sukan di Thailand merupakan kali ketiga berturut-turut Diroy merangkul pingat emas dalam acara yang sama.
Related article image
(Gambar: SNPC / Goh Si Wei)
Sebagai juara bertahan, Diroy mengakui beliau merasakan tekanan untuk sekali lagi memenangi pingat emas.

"Saya cakap pada diri saya, saya mesti menang. Kalau tidak, macam mana ingin pergi lebih jauh? Kerana impian saya adalah untuk menang pingat di Sukan Asia," katanya.

Malangnya, tahun 2024 menjadi detik paling mencabar bagi Diroy apabila beliau mengalami kecederaan serius.

Walaupun masih dalam proses pemulihan, beliau tetap layak ke Paralimpik Paris. Beliau memaksa dirinya kembali bertanding meskipun belum pulih sepenuhnya - satu keputusan yang akhirnya menjejaskan prestasinya.

Sebaik pulang dari Paris, Diroy memberi tumpuan penuh kepada pemulihan. Usaha itu membuahkan hasil apabila beliau bangkit mencatat prestasi cemerlang di Kejohanan Dunia 2025 dengan menamatkan pertandingan di kedudukan ketujuh dunia.

Kini, Diroy mengorak langkah dengan sasaran lebih besar - bukan lagi sekadar jaguh Asia Tenggara, sebaliknya mahu berada dalam kelompok tiga terbaik Asia.

"Disiplin sangat penting, bangun awal, datang latihan tepat pada waktu, dan paksa diri walaupun badan rasa lain selepas kecederaan. Anda perlu berusaha lebih gigih lagi,” kata Diroy.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita