"Suatu penghormatan bagi saya berkhidmat di parlimen," ucap Amrin Amin
"Ia suatu penghormatan bagi saya dapat berkhidmat di Parlimen Singapura dari 2015 hingga 2020," kata mantan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin selepas keputusan Pilihan Raya Umum 2020 diumumkan awal pagi tadi (11 Jul).

Amrin Amin semasa bertemu penduduk di GRC Sengkang. (Gambar: Facebook/Amrin Amin)
SINGAPURA: "Ia suatu penghormatan bagi saya dapat berkhidmat di Parlimen Singapura dari 2015 hingga 2020," kata mantan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin selepas keputusan muktamad Pilihan Raya Umum 2020 diumumkan awal pagi tadi (11 Jul).
Encik Amrin, yang juga calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sengkang, berkata demikian selepas Parti Pekerja (WP) memenangi 52.13 peratus undi berbanding 47.87 peratus yang diraih PAP di kawasan undi itu.
Dengan keputusan muktamad tersebut, bermakna Encik Amrin berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) hanya untuk satu penggal.
Selain Encik Amrin, pasukan PAP di GRC Sengkang yang dipimpin ketua gerakan buruh Ng Chee Meng turut dianggotai Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Pengangkutan, Dr Lam Pin Min, serta muka baru Raymond Lye, manakala pasukan WP terdiri daripada Cik He Ting Ru, Dr Jamus Lim, Cik Raeesah Khan dan Encik Louis Chua.
Dalam catatan beliau di Facebook, Encik Amrin mengucapkan tahniah kepada WP dan turut melahirkan rasa terima kasih beliau kepada para penduduk.
"Tahniah kepada Parti Pekerja! Dan terima kasih kepada semua yang menyokong kami di GRC Sengkang.

(Gambar: Facebook/Amrin Amin)
"Para penduduk Sengkang sudahpun bersuara. Saya menghormati dan menerima pilihan mereka dengan rendah hati.
"Saya mengucapkan terima kasih terutama sekali kepada penduduk Woodlands atas kenangan yang indah.
"Saya sudah memberikan yang terbaik. Saya mengharapkan yang terbaik untuk GRC Sengkang. Saya sematkan di hati orang-orang yang saya temui dan memberi saya inspirasi - anda meneruskan semangat saya."
Encik Amrin turut berkhidmat di GRC Sembawang bagi daerah Woodlands sebelum ini.
Kerusinya di GRC tersebut diganti Mariam Jaafar, selepas beliau dipindahkan untuk bertanding di GRC Sengkang.
Pasukan PAP di GRC Sembawang menang 67.29 peratus undi berbanding Parti Perpaduan Nasional (NSP) pada 32.71 peratus.
PM LEE IKTIRAF SUMBANGAN AMRIN
Dalam sidang media selepas keputusan muktamad dikeluarkan pagi tadi, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengiktiraf sumbangan Encik Amrin.
Ini meskipun beliau akur "kecewa" kehilangan GRC Sengkang dan menyifatkan kekalahan itu sebagai satu "tamparan hebat bagi pasukan 4G".

(Gambar: Facebook/Amrin Amin)
"Amrin Amin seorang setiausaha parlimen kanan Melayu yang muda dan berpotensi, beliau sudah melakukan 'sumbangan agak banyak' dalam MHA, khususnya bagi masyarakat Melayu berhubung dadah dan isu-isu sukar lain," kata PM Lee.
SUMBANGAN AMRIN BAGI MASYARAKAT MELAYU
Yang jelas, kehilangan beliau akan turut dirasai di peringkat masyarakat Melayu/Islam amnya.
Di bawah projek M³, Encik Amrin Amin memimpin usaha mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga.
Antara inisiatif yang dibangunkan termasuk Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga melalui program Fitrah di Masjid En-Naeem, di Hougang, yang berusaha membantu bekas pesalah Muslim pulih dan berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

(Gambar: Facebook/Amrin Amin)
Beliau juga menyuntik kesegaran dalam kempen anti-dadah bagi memastikan Singapura bebas dadah.
Di bawah kepimpinannya, Encik Amrin berjaya menggembleng sokongan pelbagai lapisan masyarakat bagi kempen Dadah Itu Haram (DIH) termasuk dari kedai gunting rambut, bersama 'abang-abang' motor hingga ke asatizah.
Kempen DIH juga dilancarkan Encik Amrin pada April 2017 bagi menggalak mesej antidadah, dengan slogan 'Muslim Sejati Jauhi Dadah'.

(Gambar: Facebook/Amrin Amin)
Sebagai SPS Kesihatan pula, beliau menekankan amalan gaya hidup sihat dalam agama dan wajar dijadikan amalan masyarakat Melayu setempat.
Antara lain, Encik Amrin menyokong inisiatif Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU) dan kempen 'Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?'.
PENGGUNA MEDIA SOSIAL HARGAI USAHA
Meski berkhidmat hanya untuk satu penggal, sumbangan Encik Amrin jelas menyentuh penduduk terutama sekali bagi mereka di Woodlands.
Cik Mariamah Mohamed menulis: "Encik Amrin Amin, ia tentu sekali satu kehilangan kepada negara ini. Anda seorang ahli politik harapan dan muda, yang ramah dan sangat disenangi orang ramai terutama sekali penduduk di Woodlands."
Encik Firdaus Daud turut mencoret: "Bagi saya, malangnya Amrin Amin tidak dipilih semula. Beliau AP yang 'bagus' dan penduduk Woodlands akan menjadi saksi. Beliau sangat terlibat dalam banyak inisiatif masyarakt sebagai SPS MHA dan MOH.
"Terima kasih atas khidmat awam anda sejak beberapa tahun ini, Amrin. Saya harap ini bukan kali terakhir rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada usaha anda."

(Gambar: Facebook/Amrin Amin)
Pengguna 'Aida Anak Ta'al' pula menulis: "Anda salah seorang AP Melayu yang selalu rendah diri dan berdedikasi."
Malah, masyarakat bukan Melayu turut melahirkan rasa terima kasih mereka kepada Encik Amrin.
"Terima kasih atas sumbangan anda di Woodlands Encik (Amrin), anda anggota yang rendah diri dan berharga di GRC Sembawang," kata pengguna 'Valerie Jade Phoenix Yeo'.
Cik Mei Qi Wan juga menulis: "Terima kasih atas khidmat anda kepada penduduk Admiralty. AP terbaik yang pernah kami ada selama beberapa tahun. Kami akan merindui anda!"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.