Skip to main content

Iklan

Iklan

Steroid dexamethasone ubat pertama dapat selamat nyawa kes paling tenat COVID-19

Sejenis ubat yang murah dah mudah diperolehi didapati boleh membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang sedang tenat melawan jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Steroid dexamethasone ubat pertama dapat selamat nyawa kes paling tenat COVID-19

Seorang ahli farmasi meunjukkan sekotak Dexamethasone di Hospital Erasme di Brussels, Belgium, pada 16 Jun 2020. (Gambar: Yves Herman/REUTERS)

Diterbitkan : 17 Jun 2020 01:10PM Dikemas Kini : 17 Jun 2020 01:12PM

LONDON: Sejenis ubat yang murah dah mudah diperolehi didapati boleh membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang sedang tenat melawan jangkitan COVID-19.

Rawatan steroid dexamethasone pada dos rendah muncul sebagai satu penobrosan dalam usaha menangani jangkitan virus yang boleh membawa maut itu, kata para pakar di United Kingdom.

Ubat itu adalah sebahagian daripada ujian terbesar di dunia bagi menguji sama ada ia berkesan dalam menangani jangkitan virus COVID-19.

Ia berhasil mengurangkan sebanyak sepertiga risiko kematian dalam kalangan pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan atau ventilator. Bagi pesakit yang memerlukan bantuan oksigen pula, risiko kematian dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus.

Jika ubat itu digunakan untuk merawat para pesakit di United Kingdom sejak pertama kali virus itu menular, para pengkaji menganggarkan seramai 5,000 nyawa mungkin dapat diselamatkan.

Ia juga boleh membawa banyak manfaat di negara-negara lebih miskin dengan jumlah pesakit COVID-19 yang tinggi.

Kerajaan UK mempunyai 200,000 unit ubat itu dalam bekalan simpanan negara. Sistem Kesihatan Negara (NHS) menyatakan ia akan menyediakan dexamethasone untuk merawat para pesakit.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Boris Johnson berkata terdapat alasan yang munasabah untuk meraikan "satu pencapaian saintifik yang luar biasa oleh para pengkaji Britain", sambil menambah bahawa "pihak berkuasa sudah mengambil langkah-langkah untuk memastikan bekalan yang mencukupi, walaupun jika jumlah kes memuncak buat kali kedua."

Ketua Pegawai Perubatan bagi England, Profesor Chris Whitty berkata penemuan itu akan membantu menyelamatkan nyawa di seluruh dunia.

Sekitar 19 daripada 20 pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 pulih tanpa dimasukkan ke hospital.

Dalam kalangan mereka yang dirawat di hospital, ramai yang pulih (selepas dirawat dengan ubat itu) meskipun sebilangan mungkin memerlukan bantuan oksigen atau alat pernafasan mekanikal. Mereka malah adalah pesakit yang berisiko tinggi.

Ubat itu sudahpun digunakan untuk mengurangkan keradangan dalam pelbagai masalah kesihatan, termasuk sakit sendi, semput dan sesetengah penyakit kulit.

Ia juga dilihat boleh membantu menghentikan sesetengah kerosakan yang boleh berlaku apabila sistem imun tubuh mengalami tindak balas berlebihan dalam usaha melawan jangkitan virus COVID-19.

Tindak balas berlebihan yang dikenali sebagai ribut sitokin, boleh membawa maut.

Dalam ujian yang diterajui oleh pasukan pengkaji dari Universiti Oxford, sekitar 2,000 pesakit di hospital diberikan dexamethasone sementara lagi 4,000 diberikan rawatan lain.

"Rawatan menggunakan dexamethasone mengambil masa sehingga 10 hari dan harganya sekitar 5 paun sterling (S$8.75) bagi setiap pesakit.

"Jadi pada dasarnya, kos ubat hanya 35 paun sterling (S$61.26) untuk menyelamatkan seorang pesakit.

"Ubat ini tersedia di seluruh dunia."

Jika sesuai, pesakit yang sedang dirawat di hospital harus diberikan ubat itu tanpa berlengah lagi, kata penyelidik utama Profesor Martin Landray.

Namun, orang ramai tidak seharusnya membeli ubat itu untuk merawat diri sendiri di rumah.

Dexamethasone kelihatan tidak membantu pesakit dengan gejala COVID-19 yang lebih ringan dan tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Ujian pemulihan itu, yang dijalankan sejak bulan Mac, juga menguji ubat hidroxychloroquine yang digunakan untuk merawat malaria. Namun penggunaannya kemudian dihentikan di tengah-tengah kebimbangan ia meningkatkan kematian dan masalah jantung.

Sementara itu, ubat antivirus remdesivir, yang kelihatan dapat menyingkatkan tempoh pemulihan pesakit COVID-19, sudah disediakan oleh NHS.

Ubat pertama yang terbukti dapat mengurangkan kadar kematian akibat COVID-19 bukanlah ubat baru yang mahal, malah sejenis steroid sedia ada yang juga murah.

Ini sesuatu yang boleh diraikan kerana ini bermakna para pesakit di seluruh dunia dapat meraih manfaat dengan segera.

Inilah sebabnya hasil kajian ini perlu diumumkan - kerana kesannya terhadap usaha merawat jangkitan COVID-19 di seluruh dunia, amatlah besar.

Dexamethasone digunakan sejak awal 1960-an untuk merawat pelbagai keadaan, seperti sakit sendi reumatoid dan semput.

Separuh daripada pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan tewas akibat jangkitan virus itu. Oleh demikian, mengurangkan risiko sebanyak sepertiga akan memberi kesan yang besar.

Ubat ini diberikan menerusi suntikan atau tiub bagi pesakit di unit jagaan rapi dan dalam bentuk pil untuk pesakit yang kurang serius.

Sejauh ini, satu-satunya ubat lain yang terbukti bermanfaat bagi pesakit COVID-19 adalah remdesivir, yang digunakan untuk merawat jangkitan Ebola.

Ia terbukti dapat mengurangkan tempoh gejala virus korona dari 15 hari kepada 11 hari.

Namun, bukti itu tidak cukup kukuh untuk membuktikan sama ada ia dapat mengurangkan kadar kematian.

Tidak seperti dexamethasone, remdesivir adalah ubat baru dengan bekalan terhad dan harganya belum diumumkan.

Sumber : AFP/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan