Skip to main content

SPP lancar manifesto gariskan isu kesihatan mental, sekitaran dan belia

 Parti Rakyat Singapura (SPP) pada Ahad (28 Jun) mendedahkan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum akan datang bertujuan menangani bukan hanya "isu-isu kos sara hidup" tetapi juga topik-topik yang kurang dibincangkan semasa pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jun 2020 03:14PM Dikemas Kini : 28 Jun 2020 08:56PM

SINGAPURA: Parti Rakyat Singapura (SPP) pada Ahad (28 Jun) mendedahkan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum akan datang bertujuan menangani bukan hanya "isu-isu kos sara hidup" tetapi juga topik-topik yang kurang dibincangkan semasa pilihan raya.

Ini termasuk memperbaiki keadaan kesihatan mental di Singapura dan menangani perubahan iklim serta dasar-dasar yang ditumpukan kepada belia seperti menurunkan had umur mengundi dari 21 ke 18 tahun.

Manifesto setebal 24 muka surat itu bertajuk "Masa Hadapan Lebih Baik" ("A Better Tomorrow") menyenaraikan tiga nilai utamanya: Kebertanggungjawapan, komitmen dan empati.

Dari segi kesihatan mental, parti itu menyarankan empat dasar - memudahkan para karyawan kesihatan mental untuk dihubungi, para pekerja mempunyai pilihan untuk mengambil cuti kesihatan mental, menyediakan lebih banyak subsidi untuk khidmat kesihatan mental dan mengkaji semula syarat hukuman bagi para pesalah yang mengalami masalah kesihatan mental.

Bagi perubahan iklim, SPP menyifatkannya sebagai "isu yang kekal wujud" dan menyarankan dasar-dasar seperti mewajibkan syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Singapura untuk mendedahkan kepada umum portfolio pengeluaran karbonnya.

Pada Ahad, lima calon Pilihan Raya Umum SPP menjawab soalan-soalan di satu sidang media yang diadakan menerusi wadah sidang video Zoom.

Merujuk kepada manifesto parti, pengerusi SPP, Jose Raymond, yang sebelum ini merupakan ketua eksekutif Majlis Sekitaran Singapura berkata: "Ia mungkin bukan isu-isu kos sara hidup yang biasa timbul semasa pilihan raya tetapi ia adalah isu-isu penting yang kita perlu bincangkan."

Parti itu mengesahkan minggu lalu bahawa ia merancang untuk bertanding di dua kawasan undi: Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan Bishan-Toa Payoh dan Kawasan Undi Perseorangan Potong Pasir.

BEBERAPA SARANAN SPP

Membenarkan para pelajar dari semua institusi pengajian tinggi, bukan hanya pelajar yang diluluskan, untuk menggunakan wang dari Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi yuran sekolah

Cukai Barangan dan Perkhidmatan tidak dinaikkan lagi. Pemerintah Parti Tindakan Rakyat telah mengumumkan bahawa GST akan dinaikkan dari 7 ke 9 peratus antara 2022 dengan 2025.

Menyelia kajian kebangsaan mengenai jumlah wang yang diperlukan rakyat Singapura untuk menyara keperluan asas hidup, dan kemudian memperkenalkan gaji minimum.

Memansuhkan kuota kaum di flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang boleh menghambat pemilik flat dari kaum minoriti daripada menjual flat. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita