SportSG perkenal langkah bantu masyarakat sukan S'pura; tawar jawatan sementara dan peluang latihan
Sport Singapore (SportSG) memperkenalkan beberapa langkah yang disasarkan untuk membantu para anggota masyarakat sukan di sini yang mata pencarian mereka terjejas akibat COVID-19, dengan menawarkan peluang pekerjaan sementara dan latihan.
(Gambar: myActiveSG/Facebook)
SINGAPURA: Sport Singapore (SportSG) memperkenalkan beberapa langkah yang disasarkan untuk membantu para anggota masyarakat sukan di sini yang mata pencarian mereka terjejas akibat COVID-19, dengan menawarkan peluang pekerjaan sementara dan latihan.
Langkah-langkah itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SportSG Lim Teck Yiin semasa satu taklimat media pada Isnin (30 Mac), yang diadakan menerusi persidangan video.
Langkah-langkah itu diumumkan selepas SportsSG mendedahkan minggu lalu bahawa semua acara sukan sehingga hujung April akan dibatalkan.
Lebih 500 peluang kerja dan lebih 5,000 tempat latihan akan disediakan dari sekarang hingga hujung tahun ini oleh agensi sukan itu.
Daripada jumlah tersebut, lebih 200 pekerjaan disasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di Pusat Sukan ActiveSG, serta akademi dan kelab lain, bagi melaksanakan langkah-langkah baru yang bertujuan untuk menyekat penularan COVID-19 dan pendampingan dengan para pengunjung.
Lebih 300 jawatan sementara adalah untuk pekerjaan-pekerjaan seperti penerbit kandungan dan penerbit media, pembangun kurikulum sukan dan jurulatih sukan.
SportSG juga bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain untuk menawarkan pekerjaan kepada para individu yang terjejas, dengan peluang kerja bakal disenaraikan secara bertahap-tahap di portal Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), SGUnited dan SportSG.
Dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan WSG, Pusat Latihan ActiveSG dan CoachSG - juga akan menawarkan kursus-kursus dari sains sukan hingga ke pemasaran digital, yang akan dibiayai melalui dana SkillsFuture.
Encik Lim juga mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah "pusat sukan maya" menerusi platform yang dinamakan ActiveSG Circle, yang membolehkan para pengguna untuk mengakses pelbagai kursus online secara percuma dan program latihan berbayar, termasuk kandungan lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.