Skip to main content

Solat Jumaat, solat jemaah dibenarkan di masjid, surau terpilih dalam zon hijau Wilayah Persekutuan M'sia

Solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid  serta surau terpilih dalam Zon Hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok (15 Mei) dengan bilangan jemaah sekurang-kurangnya tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Anggaran Waktu Membaca:
Solat Jumaat, solat jemaah dibenarkan di masjid, surau terpilih dalam zon hijau Wilayah Persekutuan M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 May 2020 10:25PM Dikemas Kini : 14 May 2020 10:30PM

PUTRAJAYA: Solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid serta surau terpilih dalam Zon Hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok (15 Mei) dengan bilangan jemaah sekurang-kurangnya tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kebenaran solat berjemaah itu termasuk bagi solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima cadangan berkenaan yang terdahulu sudahpun diteliti Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

"Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan saya dengan Perdana Menteri pada 12 Mei lepas," kata Dr Zulkifli di sidang media khas hari ini (14 Mei). 

Bagaimanapun, Dr Zulkifli berkata bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan, keputusan untuk menerima pakai cadangan berkenaan bergantung kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing seperti mana ditetapkan Perlembagaan Persekutuan bahawa urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

Dari segi kehadiran jemaah, beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pihak berkuasa agama empat negeri berkenaan serta jawatankuasa masjid akan menentukan had bilangan jemaah masing-masing bagi mengelakkan kehadiran orang ramai secara mengejut untuk melaksanakan solat di masjid.

Dr Zulkifli berkata bagi bilangan jemaah Solat Jumaat, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat mengambil pandangan Imam Ghazali dan sebahagian ulama mazhab Shafie yang mengatakan bilangan 20 hingga 40 orang jemaah lelaki sudah cukup untuk melaksanakan Solat Jumaat.

"Buat masa ini, hanya jemaah lelaki diutamakan untuk solat di masjid," ujarnya.

Dr Zulkifli menambah pihak masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri bagi mengawal keadaan.

Beliau juga sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai perkara itu dan mendapat persetujuan untuk memberi kerjasama penuh.

“Ahli jawatankuasa masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita