Zirafah Taman Haiwan S'pura, Lucy, mati semasa melahirkan
Zirafah Taman Haiwan Singapura mati pada Selasa (5 Feb) selepas terkena serangan jantung semasa mencuba melahirkan anak pertamanya, menurut Wildlife Reserve Singapore (WRS).
Lucy sebelum ini dijangka melahirkan pada lewat Jan. (Gambar: Wildlife Reserves Singapore/Facebook)
SINGAPURA: Zirafah Taman Haiwan Singapura mati pada Selasa (5 Feb) selepas terkena serangan jantung semasa mencuba melahirkan anak pertamanya, menurut Wildlife Reserve Singapore (WRS).
Awal semalam (5 Feb), WRS dalam catatan Facebooknya menyatakan haiwan tersebut, Lucy, tidak dapat melahirkan secara normal dan "peluang anaknya selamat hampir tidak mungkin sama sekali".
Lantaran itu, doktor-doktor haiwan dan para penjaga zoo memutuskan Lucy diberikan sedatif untuk mengeluarkan anak haiwan itu.
"Bagi seekor zirafah, prosedur tersebut rumit dan berisiko," menurut WRS, sambil menambah pasukan itu mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Lucy.
(Gambar-gambar: Wildlife Reserves Singapore/Facebook)
Namun, dalam satu kemas kini tidak lama selepas itu, WRS menyatakan bahawa Lucy terkena serangan jantung semasa proses mengeluarkan janinnya dijalankan. Meskipun resusitasi dijalankan selama 10 minit, WRS menyatakan Lucy tidak dapat diselamatkan lalu mati pada jam 7.00 malam Selasa (5 Feb).
"Kami dengan penuh duka citanya menyampaikan berita sedih bahawa Lucy, zirafah kesayangan kami, sudah lagi tiada," menurut WRS.
Khabar Lucy bunting pertama kali diumumkan pada Oktober lalu. Ia dijangka melahirkan anaknya pada lewat bulan Januari. Zirafah berusia 14 tahun itu disahkan bunting selepas para penjaga zoo menyedari perutnya membesar pada April.
WRS turut menyampaikan penghargaan kepada para penjaga Lucy dan pasukan doktor haiwan dalam catatan Facebooknya.
"Bagi para penjaga dan pasukan doktor haiwan yang memantau kesihatannya selama beberapa bulan lalu, dan terus menjaganya sejak 48 jam lalu, ia benar-benar satu khabar menyedihkan.
"WRS ingin menunjukkan penghargaan dan sokongan kami kepada pasukan yang menjaga Lucy atas dedikasi dan kasih sayang yang dicurahkan kepada Lucy."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.