Skip to main content

Singapura

Zhulkarnain Rahim sandang jawatan Menteri Negara sebulan lebih awal, tumpuan kepada peranan SG di dunia, pembangunan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Jan 2026 02:53PM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 05:27PM
SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Zhulkarnain Abdul Rahim secara rasmi menyandang jawatan sebagai Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga pada 1 Januari 2026.

Pelantikan beliau pada asalnya ditetapkan pada 1 Februari 2026, namun dipercepatkan sebulan lebih awal.

Encik Zhulkarnain mengangkat sumpah jawatan baharu itu hari ini (5 Jan) di Istana.

Dalam wawancara bersama wartawan Nurfazirah Azman, beliau berkongsi harapan dan pendekatan beliau dalam menggalas tanggungjawab baharu ini.

Mengulas tentang kesediaannya menyandang jawatan baharu itu lebih awal dari yang dijadualkan, Encik Zhulkarnain berkata, "Sebenarnya ada yang tanya, 'Kenapa, anda tidak mahu rehat? Masih ada masa lagi. Tetapi tanggungjawab dan amanah yang berat ini saya tidak akan ambil ringan."

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas menyusun komitmen profesionalnya bagi memastikan peralihan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Walaupun pengumuman untuk saya menyandang jawatan ini telah dibuat lama, beberapa bulan yang lepas, saya telah membuat persiapan untuk menyelesaikan ataupun mengakhiri kes-kes saya di Mahkamah Tinggi dan timbang tara antarabangsa.

"Dengan kerjasama anak-anak guam saya dan semua rakan sekerja di pejabat ini, selesai sudah kes-kes di mahkamah dan semua sudah diambil alih oleh peguam-peguam lain,” kongsi Encik Zhulkarnain.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan untuk memulakan tugas lebih awal didorong oleh keutamaan terhadap kepentingan masyarakat dan negara.

"Kita mementingkan masyarakat, mementingkan apa yang diperlukan oleh negara dan tanggungjawab ini saya tidak ambil ringan dan kerana itu saya fikir, 'Tidak apa, mungkin rehat sebentar sahaja'.

"Jadi dapat saya teruskan sumbangan saya dengan tarikh yang baru ini, yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri dalam kementerian yang saya akan wakili. Mereka malah mengalu-alukan, memang mereka tidak sabar lagi untuk saya menyumbang tenaga dalam pasukan baru ini," kata Encik Zhulkarnain.
Related article image
Encik Zhulkarnain. (Gambar: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI))
TEROKA PELUANG LUAR NEGARA TUMPUAN DALAM MFA

Mengulas tentang penglibatannya di Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Zhulkarnain berkata pengalaman beliau sebagai peguam selama dua dekad banyak melibatkan urusan antarabangsa.

“Dalam pekerjaan saya sebagai seorang peguam selama dua dekad lamanya, saya memang berkecimpung dalam timbang tara antarabangsa, banyak kali ke luar negara untuk urusan niaga dan urusan guaman, kata Encik Zhulkarnain.

Beliau menjelaskan tumpuannya akan merangkumi beberapa rantau.

“Saya akan melihat isu-isu di Timur Tengah, di rantau ASEAN dan di benua Afrika dan Latin Amerika.

"Ada isu-isu yang kita menitikberatkan, yang masyarakat kita ada ambil prihatin dan juga ada peluang-peluang dan ruang untuk perusahaan kita, untuk warga kita mendapatkan pekerjaan ataupun meluaskan pendidikan ataupun perusahaan mereka dari segi ekonomi dan sosial," jelas Encik Zhulkarnain.

PERKUKUH HUBUNGAN BAIK DENGAN NEGARA LAIN

Dalam pada itu, beliau menekankan pentingnya perpaduan bagi memastikan hubungan yang terjalin antara negara kekal harmoni.

“Kita harus mementingkan kepentingan Singapura, kepentingan warganegara Singapura dan dengan ini kita harus melihat berapa kita boleh melakar perjalanan kita sebagai satu negara yang majmuk," katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya persefahaman antara negara serta antara masyarakat yang berbeza.

“Bagaimana kita dapat memberikan lebih banyak persefahaman antara negara, antara pemerintah asing dengan pemerintah kita, supaya mereka dapat lebih tumpukan perhatian bukan tentang perbezaan, tetapi tentang persamaan.

“Dengan perubahan iklim, peperangan, konflik yang tercetus di mana-mana sahaja ataupun anasir-anasir yang ingin memecahbelahkan daripada menyatukan, ia amatlah penting bagi kita menitikberatkan persefahaman dan persatuan," kata EncikZhulkarnain.

Beliau berharap agar peranan baharunya di MFA dapat memperkukuh kesedaran masyarakat Singapura terhadap kepentingan diplomasi, perundangan antarabangsa serta peluang global, sambil mengekalkan nilai teras perpaduan.

"Dengan kita melebarkan sayap di persada dunia, kita dapat bukan saja memberikan lebih banyak peluang bagi masyarakat kita, negara kita, tetapi kita juga dapat memperlihatkan ataupun mencerminkan nilai-nilai yang penting bagi masyarakat Singapura ke semua lapisan masyarakat di negara lain," kata Encik Zhulkarnain.

AKAN MENERAJUI BIDANG TUMPUAN FA1 - PERKAHWINAN, KEIBUBAPAAN & PEMBANGUNAN AWAL KANAK-KANAK

Dalam tanggungjawab baharunya, Encik Zhulkarnain juga akan memberi tumpuan kepada bidang pembangunan sosial dan keluarga.

Menurut beliau, isu keluarga dan masyarakat merupakan perkara yang dekat dengan hatinya.

“Dengan pengalaman sebagai seorang Anggota Parlimen dan seorang peguam dan seorang aktivis yang berkecimpung dalam badan-badan kebajikan Melayu/Islam selama ini selama 20 tahun lamanya.

"Memang ini satu isu yang lebih dekat di hati saya, iaitu isu keluarga, isu menangani gejala sosial dan saya berbesar hati dapat diberi peluang oleh Pemangku Menteri, Prof Faishal (Ibrahim) untuk menerajui bidang tumpuan FA1.”

FA1 memberi tumpuan kepada sokongan buat perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak.
Encik Zhulkarnain turut berkongsi penglibatannya dalam program 'Bersamamu' yang menyokong pasangan baharu dengan bimbingan agama serta
kemahiran-kemahiran praktikal seperti perancangan kewangan, kemahiran berkomunikasi dan dalam menangani konflik dan tekanan.

Beliau dengan Dr Faishal Ibrahim juga akan sama-sama menerajui Projek Dian yang sebelum ini dipimpin oleh mantan menteri Dr Mohd Maliki Osman.

Projek Dian bertujuan membantu memperkasa anggota masyarakat yang menetap di flat-flat sewa dan mempunyai anak-anak kecil.

"Saya rasa isu ini, 'multi-faceted', banyak lapisannya tapi solusinya banyak sekali dan sebagai seorang yang diberikan tanggungjawab ini, inilah amanah saya untuk menyatukan belaian-belaian kasih daripada semua lapisan masyarakat kita yang ingin bersatu bersama kita untuk memberikan kesan atau impak positif," kata Encik Zhulkarnain.

Beliau turut menarik perhatian terhadap perlunya ada pendekatan berbeza bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Related article image
(Gambar: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI))
KOMITED UNTUK PIKUL TANGGUNGJAWAB BAHARU

Encik Zhulkarnain menegaskan komitmennya untuk memikul amanah baharu itu dengan penuh tanggungjawab.

“Saya harapkan bahawa tanggungjawab ini saya dapat galas dengan setia dan memikul amanah ini untuk semua lapisan masyarakat Singapura dan saya alu-alukan semuanya untuk memberikan maklum balas pada saya,” katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan semua lapisan masyarakat dalam menangani isu-isu yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita