Zhulkarnain, Dr Syed Harun, kongsi rancangan & tumpuan jelang pelantikan baharu jawatan politik
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong semalam mengumumkan pelantikan beberapa muka baharu dalam Kabinet dan jawatan politik termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang akan menyandang jawatan sebagai Menteri Negara bagi Ehwal Luar (MFA) merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mulai 1 Februari 2026.
Dalam reaksinya kepada BERITA Mediacorp, Encik Zhulkarnain melahirkan rasa teruja untuk memainkan peranan lebih besar demi Singapura serta masyarakat Melayu/Islam.
Beliau berkata tempoh sebelum pelantikan rasmi akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada para Menteri, mantan Menteri serta penjawat awam sebagai persiapan untuk menggalas tanggungjawab baharu itu.
"Fokus sekarang bagi saya sekarang ini, adalah untuk mempelajari, mendalami dasar-dasar yang terkait dengan kementerian yang menjadi tanggungjawab saya dan supaya saya mendengar maklum balas dan mempelajari daripada ahli-ahli yang menyandang jawatan ini dahulu seperti Mantan Menteri, Dr Maliki dan juga sekarang Menteri MSF, Menteri Masagos Zulkifli juga dan semua kakitangan di sektor awam dalam kementerian ini," kongsi Encik Zhulkarnain kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Encik Zhulkarnain, yang sebelum ini giat memperjuangkan isu-isu sosial dan pembangunan masyarakat di Parlimen, turut menyuarakan hasratnya untuk membawa pembaharuan menerusi idea-idea baharu dalam portfolio yang bakal disandang.
"Itu fokus saya yang pertama. Kedua adalah untuk memberikan satu suntikan idea pembaharuan yang mungkin saya harap-harap diberikan peluang untuk menyumbang bakti lagi dalam kementerian-kementerian yang saya diberikan tanggungjawab," tambah beliau.
BUAT PENYESUAIAN DI FIRMA GUAMAN SEBELUM GALAS JAWATAN TAHUN HADAPAN
Sebelum menyertai Kabinet secara rasmi tahun hadapan, Encik Zhulkarnain, 44 tahun, akan memberi tumpuan kepada proses peralihan tugas di firma guamannya.
Beliau kini merupakan Rakan Kongsi Kanan di firma guaman Dentons Rodyk, tempat beliau membina kerjaya selama hampir 20 tahun.
Mengulas lanjut, beliau menghargai ruang masa yang diberikan oleh Perdana Menteri dan anggota Kabinet lain agar dapat menyusun semula tanggungjawab profesionalnya sebelum memulakan tugas baharu.
"Saya harus mengaturkan urusan perniagaan dan guaman seperti kes-kes guaman saya di Singapura dan antarabangsa supaya saya dapat menghabiskannya dan memenuhi tanggungjawab saya kepada anak-anak guam saya, dan juga pasukan di firma guaman saya supaya ada peralihan kepimpinan," dedah Encik Zhulkarnain.
TERUSKAN PENDEKATAN SEBAGAI ANGGOTA PARLIMEN DALAM KABINET KELAK
Encik Zhulkarnain juga kini menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, dan mengetuai Jawatankuasa Bulan Bahasa.
Beliau berkata pendekatannya sebagai Anggota Parlimen akan diteruskan apabila menyertai Kabinet, khususnya dalam memperhalusi dasar-dasar awam agar lebih mesra rakyat.
"Saya selalu mengajukan soalan di Parlimen tentang isu-isu yang dekat dengan hati masyarakat dan terkait juga dalam soalan saya adalah saranan-saranan supaya dasar-dasar ini diperhalusi dan bagaimana ia lebih mesra rakyat seumpamanya.
"Jadi pendekatan sebagai AP bagi saya, ini adalah satu peranan yang akan saya teruskan dalam Kabinet juga. Dan dalam Hal Ehwal Masyarakat Islam Singapura juga, saya berharap kita semua dapat bantu bersama kerana ianya satu usaha ataupun ikhtiar kita secara kolektif, bukan sahaja disandang oleh seorang sahaja. Tetapi semuanya akan membantu supaya Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baharu dapat mendapat saranan yang terbaik bukan sahaja daripada kita, bahkan masyarakat secara umumnya," ujar beliau.
DR SYED HARUN AKAN MULA GALAS PERANAN BAHARU PADA OKT INI
Selain itu, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang baru menyertai politik dalam GE2025, dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pendidikan bermula 1 Oktober 2025.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, AP GRC Nee Soon itu merakamkan penghargaan kepada PM Wong atas kepercayaan yang diberikan.
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaannya untuk membawa saya dan yang lain memasuki pasukannya. Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan yang mendalam untuk berkhidmat dalam kapasiti sebegini untuk negara, dan saya akan terus memberikan yang terbaik untuk rakyat Singapura," menurut Dr Syed Harun.
MANFAATKAN PENGALAMAN DEMI DASAR BERKESAN
Dr Syed Harun menekankan bahawa kementerian-kementerian di bawah tanggungjawabnya memainkan peranan penting dalam membina masa depan negara.
Beliau akan memanfaatkan pengalaman profesional, sosial dan kemasyarakatannya dalam pelaksanaan tugas.
"Kerja dalam kementerian-kementerian ini kekal amat penting dalam melengkapkan generasi masa depan kita dengan keupayaan untuk menghadapi kerumitan dan cabaran yang mendatang, serta dalam usaha menjadikan Singapura sebuah rumah yang disayangi dan kota yang dinamik untuk semua. Kerja ini sangat dekat dengan hati saya, dan saya akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman profesional, sosial dan kemasyarakatan saya dalam usaha memastikan dasar yang baik serta pendekatan yang berkesan sehingga akhirnya," nyata beliau.
Beliau turut berkongsi bahawa tumpuan utamanya sekarang ialah keperluan penduduk di Nee Soon GRC dan Nee Soon Link, serta memastikan peralihan kerja-kerja klinikalnya berjalan lancar sebelum menyertai kerajaan sepenuh masa.
Dr Syed Harun memaklumkan bahawa beberapa sesi taklimat bersama kementerian-kementerian berkaitan telah pun dirancang dalam minggu-minggu akan datang sebagai persediaan awal sebelum memulakan tugas secara rasmi pada bulan Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.