Zhulkarnain ambil tindakan undang-undang, lapor pengguna Thread didakwa sebar berita palsu tentang keluarganya
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Chua Chua Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim telah mendapatkan nasihat guaman dan membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial di platform Threads susuli satu catatan yang didakwa palsu dan berunsur fitnah.

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Chua Chua Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial di platform Threads susuli satu catatan yang didakwa palsu dan berunsur fitnah. (Gambar: Facebook/Zhulkarnain Abdul Rahim)
"Saya telah mendapatkan nasihat guaman dan peguam saya sudah membuat laporan polis hari ini berhubung catatan palsu dan berunsur fitnah terhadap keluarga saya oleh individu dengan nama pengguna 'wn.shafika' di platform media sosial Threads," kata beliau dalam catatan di Facebooknya pada Khamis (24 Apr).
DAKWA ANAK LEMAH DALAM BAHASA MELAYU
Catatan dalam bahasa Inggeris yang dimuat naik oleh pengguna wn.shafika pada Rabu (23 Apr) itu mendakwa pada awal 2025 telah memberi tuisyen bahasa Melayu kepada anak perempuan seorang Anggota Parlimen parti pemerintah yang bertanding dalam pilihan raya umum.
Calon yang dirujuk pengguna Threads itu dikatakan merupakan anggota salah satu lembaga bahasa Melayu. Anak perempuannya pula didakwa 'tidak boleh menyusun satu ayat pun dalam bahasa Melayu'.
Catatan tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

"Catatan di Threads ini jelas telah tersalah orang bahawa saya adalah individu yang dimaksudkan dan telah membuat tuduhan palsu terhadap saya dan anak-anak saya. Saya akan membuat laporan dan mengambil tindakan undang-undang. Kepada semua yang membaca: kita kini berada di tengah-tengah musim pilihan raya. Anda mungkin tidak berkongsi kecenderungan politik yang sama dengan saya tetapi mohon hormatilah orang lain dalam wacana anda," katanya.
Dalam satu kenyataan yang tegas, Encik Zhulkarnain menolak dakwaan yang tular di media sosial itu sebagai tidak benar dan mengelirukan.
"Tidak seorang pun daripada dua anak perempuan saya mengikuti kelas tuisyen dalam bahasa Melayu selama tempoh dua tahun kebelakangan ini," tegasnya.
Tambah beliau: “Sebagai seseorang yang mendakwa dirinya pendidik, apa yang anda nyatakan adalah tidak sesuai dan tidak profesional, iaitu mendedahkan kelemahan bahasa seorang kanak-kanak secara terbuka dengan tujuan memalukan kanak-kanak dan bapanya".
Beliau turut menegur tindakan menyerang keluarganya secara terbuka dan menegaskan hasratnya untuk mengambil tindakan lanjut.
Encik Zhulkarnain turut menyeru semua pihak agar menunjukkan adab dan saling menghormati sepanjang tempoh pilihan raya.
"Kepada semua yang membaca, kita di tengah-tengah musim Pilihan Raya Umum. Kita mungkin tidak mempunyai kecenderungan politik atau ideologi yang sama, namun kita harus tetap menunjukkan adab yang asas dan menghormati sesama manusia dalam perbualan dan tingkah laku kita," ujarnya lagi.
Tambahnya, disebabkan siasatan sedang dijalankan, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.