Skip to main content

Singapura

Zhulkarnain Abdul Rahim penaung baharu PERTAPIS

Anggaran Waktu Membaca:
Zhulkarnain Abdul Rahim penaung baharu PERTAPIS
Encik Zhulkarnain bertemu dan berinteraksi dengan para penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Zhulkarnain Abdul Rahim menjadi penaung terbaharu PERTAPIS. 

Ini didedahkan oleh PERTAPIS semasa Encik Zhulkarnain melakukan lawatan ke Rumah Peralihan PERTAPIS hari ini (9 Jan) untuk bertemu dan berinteraksi dengan Lembaga Pengarah serta kakitangan PERTAPIS, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu bagi pertubuhan itu selepas menyambut ulang tahun penubuhan ke-55.

Encik Zhulkarnain yang mengambil alih peranan penaung daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli memulakan khidmatnya pada 1 Oktober lalu. 

Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Masagos atas bimbingan, kepimpinan serta sokongan tidak berbelah bahagi yang telah menyumbang kepada pertumbuhan PERTAPIS.

“Di bawah kepimpinan beliau, PERTAPIS telah berkembang dari segi kekuatan, keupayaan serta kepercayaan masyarakat,” katanya.

"Sebagai penaung, saya menerima peranan ini sebagai satu amanah untuk menyokong PERTAPIS dalam melaksanakan misi khidmat, ihsan serta usaha bersama membawa rahmah kepada golongan yang memerlukan. Semoga segala usaha PERTAPIS terus menjadi sumber manfaat kepada masyarakat dan negara Singapura.” tambahnya.

Related article image
Lembaga Pengarah serta kakitangan PERTAPIS. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

PELANTIKAN YANG TEPAT BAGI PERTAPIS
 
Presiden PERTAPIS, Mohamed Shaharin Mohamed Nordin berkata pelantikan Encik Zhulkarnain sebagai penaung amat dialu-alukan, memandangkan pengalaman luas beliau dalam bidang pembangunan masyarakat dan sosial.
 
“Encik Zhulkarnain banyak melibatkan diri dalam urusan masyarakat dan pembangunan sosial. Pengalaman beliau bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk masyarakat Melayu/Islam, sejajar dengan misi PERTAPIS dalam memperkasa individu dan keluarga yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Encik Masagos Zulkifli, atas nasihat-nasihat yang diberikan, yang juga membuka laluan kepada pengganti baharu untuk terus memimpin dan membawa pertubuhan itu melangkah ke hadapan.
 
Menurut Encik Shaharin, PERTAPIS kini sedang melaksanakan beberapa inisiatif baharu, selari dengan usaha pembaharuan pertubuhan itu selepas lebih lima dekad berkhidmat kepada masyarakat.

Related article image
Ruang solat di Rumah Peralihan PERTAPIS
INISIATIF BAHARU PERTAPIS
 
Antara inisiatif tersebut termasuk penjenamaan semula PERTAPIS, pelantikan ahli-ahli Lembaga Pengarah baharu, serta pengembangan program melalui kerjasama yang lebih meluas, bukan sahaja dengan pertubuhan Muslim, malah juga organisasi bukan Muslim. Ini satu pendekatan yang merupakan yang pertama bagi PERTAPIS.
 
“Kami sedang melalui satu pembaharuan. Fokus kami adalah untuk memperkukuh hubungan sedia ada dengan masyarakat, di samping membina hubungan baharu, termasuk dengan golongan belia yang mungkin masih belum mengenali PERTAPIS,” jelas beliau.
 
Dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan, PERTAPIS juga sedang menilai semula kemudahan, proses dan penggunaan teknologi dalaman.
 
Antara tumpuan utama pertubuhan itu ialah menaik taraf rumah-rumah kebajikan PERTAPIS, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dengan anggaran kos keseluruhan antara $4 juta hingga $6 juta.
 
“Sebahagian besar kos telah dibiayai oleh pemerintah dan PERTAPIS kini sedang mengumpul baki dana yang diperlukan,” kata Encik Shaharin.
Related article image
Presiden Pertapis, Mohamed Shaharin Mohamed Nordin.
Mengulas mengenai kepentingan kerjasama, beliau menegaskan bahawa sokongan pelbagai pihak merupakan elemen penting dalam memastikan keberkesanan usaha PERTAPIS.
 
“Dengan sokongan pemerintah, masyarakat dan rakan kongsi, kami dapat melaksanakan program dengan lebih berkesan,” katanya.
 
Beliau turut mencontohkan inisiatif Ramadan Kasih, yang menyaksikan PERTAPIS berganding bahu dengan 12 masjid serta Maybank selaku penderma utama bagi menyediakan bantuan makanan yang lebih berkualiti dan menepati keperluan khusus penerima.
 
Penjenamaan semula yang sedang dirancang pula bertujuan untuk memperkukuh identiti PERTAPIS sebagai sebuah pertubuhan yang telah 55 tahun berkhidmat kepada masyarakat, di samping memastikan organisasi itu kekal relevan dan inklusif pada masa hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita