Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zhulkarnain Abdul Rahim gariskan 3 perkara bagi bina masyarakat bersatu padu

Singapura perlu terus berusaha membina masyarakat yang lebih bersatu padu, kata Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura perlu terus berusaha membina masyarakat yang lebih bersatu padu, kata Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim.

Dalam ucapan sulungnya di Parlimen hari ini (3 Sep) Encik Zhulkarnain menggariskan tiga perkara bagaimana matlamat itu dapat dicapai yakni dengan menyokong setiap keluarga, mengukuhkan hubungan kait dan menyediakan peluang dan ruang bagi membolehkan pembinaan semula yang kreatif.

MENYOKONG SETIAP KELUARGA

Akur bahawa setiap keluarga Singapura berbeza, Encik Zhulkarnain berkata kebimbangan dan impian juga berbeza-beza.

Maka itu, usaha mencari cara lebih baik bagi menyokong dan mengukuhkan setiap keluarga ini katanya menjadi lebih penting lagi dengan tekanan yang dihadapi sekarang ini.

Ini kerana krisis ekonomi sekarang ini boleh membawa kepada krisis sosial pada masa depan, tegas beliau.

Lantaran itu, jaringan keselamatan sosial dan jagaan kesihatan harus terus disemak semula, jelas beliau.

"Sebagai contoh, mungkin sudah tiba masanya untuk menaikkan had Medisave dan Medishield Life yang boleh digunakan bagi membantu mengurangkan beban kewangan," kata Encik Zhulkarnain.

Beliau menyarankan demikian sambil merujuk kepada kebimbangan banyak pasangan muda tentang kemungkinan hilang pekerjaan atau lebih buruk lagi jikacmereka menderita penyakit teruk.

"Selain bantuan kewangan, kita perlu meneroka cara-cara dan rangka kerja lain bagi mengurangkan tekanan mental dan emosi terhadap keluarga-keluarga seumpama ini, bagi memudahkan mereka berkongsi beban dan terus teguh mengharungi krisis, terutamanya yang memerlukan lebih banyak bantuan.

"Misalnya, mungkin kita boleh menimbangkan pendekatan berperingkat dengan lebih banyak hari cuti bagi mereka dengan keluarga berbilang generasi atau ibu bapa tunggal," saran Encik Zhulkarnain.

MENGUKUHKAN HUBUNGAN

Encik Zhulkarnain juga menekankan perlunya terus mengenal pasti sebarang jurang undang-undang atau dasar-dasar yang menghambat usaha-usaha membantu bekas pesalah kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Beliau memberi contoh seorang penduduknya di Keat Hong, yang kini menjaga lapan anak titipan kerana ibu bapa mereka menjalani hukuman di penjara.

"Individu seperti beliau adalah tunggak kepada masyarakat. Mereka mewujudkan sekitaran lebih stabil dan memberi sokongan kepada anak-anak ini.

"Kita perlu mencari jalan bagi mendorong lebih ramai sepertinya tampil ke depan," kata Encik Zhulkarnain.

Selain orang perseorangan, pendekatan seluruh masyarakat tetap diperlukan, tekan beliau.

Justeru memuji, beliau Reben Kuning Singapura (YRSG) yang meluaskan usahanya dengan mendampingi ramai rakan kerja masyarakat bagi merangsang usaha-usaha membantu bekas pesalah menerusi pengambilan kerja dan mendampingi keluarga mereka.

Pasukan Bertindak Berbilang Agensi, pula menghubungkan agensi-agensi pemerintah, mahkamah dan rakan-rakan strategik masyarakat seperti Casa Raudha dan PAVE bagi menangani keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, hubungan lebih kukuh antara rakan-rakan masyarakat dan keluarga-keluarga lemah harus digalak.

PEMBINAAN SEMULA BERTERUSAN DAN KREATIF

Encik Zhulkarnain juga menarik perhatian isu-isu seperti penyalahgunaan dadah, perceraian dan keganasan dalam rumah tangga yang menimpa setiap lapisan masyarakat.

Menurutnya pendekatan masyarakat terhadap isu-isu tersebut sudah berubah dan harus terus berubah.

Jelas beliau, dengan memanfaatkan sumber di peringkat nasional dan melihat semula isu-isu dari lensa nasional, pendekatan rangkaian M³ - MUIS, Yayasan MENDAKI dan MESRA - membolehkan karyawan dan sukarelawan tanpa mengira kaum, untuk berkhidmat bersama, menggembleng tenaga dan menjanakan idea baru yang membina.

"Strategi dan pendekatan program M³ seperti KelasMatematika, Project Soar, Fitrah dan BersamaMu harus diteliti bukan sahaja untuk masyarakat Melayu/Islam kita, tetapi juga berpotensi untuk dimanfaatkan oleh masyarakat majmuk di negara kita.

"Justeru, pergerakan SGTogether amatlah penting kerana ia memberi wadah bagi warga negara kita untuk terus bergiat dalam membina masyarakat yang lebih utuh untuk semua. Proses ini sesuatu yang berterusan sehingga setiap generasi kita akan lebih maju daripada generasi yang sebelumnya," kata beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan