Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zaqy usul M³ perhebat usaha bantu pekerja Melayu/Islam beralih ke sektor berkembang maju

Usaha bagi menggalak lebih ramai pekerja Melayu/Islam supaya beralih ke sektor-sektor yang berkembang maju akan dipergiatkan menerusi Bidang Tumpuan Keempat M³ (FA4) M³.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha bagi menggalak lebih ramai pekerja Melayu/Islam supaya beralih ke sektor-sektor yang berkembang maju akan dipergiatkan menerusi Bidang Tumpuan Keempat M³ (FA4) M³.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad berkata tiga agensi M³ - MENDAKI, Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dengan sokongan pemerintah, telah bertindak pantas untuk membantu para pekerja yang terjejas oleh COVID-19.

"Ini menunjukkan bahawa struktur M³ telah dengan pantas dapat mengumpul sumber, melakar strategi dan mendapatkan sokongan para pemimpin untuk menggerakkan usaha membantu mereka yang terjejas oleh pandemik ini," kata Encik Zaqy.

Tambah beliau lagi, daya usaha di peringkat nasional seperti Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited telah menyediakan sekitar 117,000 peluang latihan dan pekerjaan.

Mendaki SENSE pula telah membantu 3,500 pemohon kerja Melayu/Islam, dengan 650 daripada mereka telah berjaya mendapat kerja.

Aplikasi CariKerja yang membolehkan pemohon kerja melayari dan memohon pekerjaan yang tersedia, selain menganjurkan pameran kerjaya secara maya sudah dimuat turun sekitar 35,000 kali.

Langkah seterusnya, menurut Encik Zaqy, adalah bagaimana untuk menggalak lebih ramai pekerja Melayu/Islam untuk menyertai program-program latihan yang akan membolehkan mereka beralih ke sektor-sektor yang sedang berkembang.

"Saya rasa itu adalah sesuatu yang harus diberi keutamaan dalam FA4. Jika anda melihat profil masyarakat Melayu/Islam kita, ramai yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti pelancongan, runcit dan makanan dan minuman (F&B) - sektor-sektor yang sedang melalui keadaan pasaran yang mencabar," dedah Encik Zaqy.

"Oleh itu, saya rasa penting untuk melihat bagaimana kita dapat membuat perubahan dari mula, misalnya bergerak dari sektor minyak dan gas yang kini beralih ke pengeluaran lanjut. Jadi, ini adalah peluang di mana anda boleh memanfaatkan sumber-sumber seperti NTUC," jelas Encik Zaqy.

Beliau turut mendedahkan bahawa Datuk Bandar CDC Tenggara, Encik Mohd Fahmi Aliman akan mengambil alih FA4 dan akan memanfaatkan rangkaian kesatuan untuk membawa daya usaha itu ke peringkat seterusnya.

Anggota Parlimen GRC Marine Parade itu juga adalah Pengarah Sekretariat Operasi dan Pengerahan Sumber di NTUC dan akan menerajui program-program di M³@Geylang Serai yang baru ditubuhkan.

"Salah satu bidang tumpuan M³@Geylang Serai adalah pembelajaran sepanjang hayat.Ia selaras dengan FA4 di mana kita bersama Mendaki SENSE, NTUC, e2i, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) sedang mengaturkan usaha untuk meningkatkan kesedaran yang menyasarkan semua pekerja, termasuk pekerja pertengahan kerjaya dan pekerja matang," kata beliau.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklum balas yang diterima, sebilangan penduduk terutamanya pekerja mapan bimbang tentang peluang-peluang pekerjaan dan sama ada mereka boleh terus meningkatkan kemahiran mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan