Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zaqy umum pembaharuan pada Skim Tuisyen MENDAKI, Pejabat Pementoran Belia ditubuhkan

Semakan menyeluruh dijalankan terhadap program Skim Tuisyen Mendaki (MTS) oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semakan menyeluruh dijalankan terhadap program Skim Tuisyen Mendaki (MTS) oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Semakan itu dijalankan untuk melihat sendiri sejauh mana MTS sesuai dengan konteks pendidikan Singapura masa kini, selain mengenal pasti sebarang jurang dari segi pendekatan, kurikulum, struktur dan cara MTS dikendalikan.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen hari ini (6 Mac), Encik Zaqy menarik perhatian kepada kemajuan dalam prestasi akademik lebih 7,500 pelajar MTS yang secara umumnya "menggalakkan".

Namun, semakan dijalankan demi menyokong dengan lebih baik untuk para belia mencapai aspirasi mereka.

PENGETUA KELOMPOK, KELAS SAINS ANTARA SARANAN DIKEMUKAKAN

Jawatankuasa yang dipimpin Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara itu, antara lain menyarankan agar pusat-pusat MTS disusun semula dengan pengetua-pengetua kelompok diperkenalkan.

(Gambar: MENDAKI)

Sejauh ini, terdapat 85 pusat MTS. Menjelang tahun depan, lagi 15 pusat akan dibuka.

Dari segi kurikulum pula, jawatankuasa berkenaan mengusulkan agar kelas-kelas Sains diperkenalkan seawal Darjah 3. Sebelum ini, kelas mata pelajaran itu ditawarkan pada peringkat Darjah 4.

Bukan itu sahaja, selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan (MOE), Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) juga akan mula dirintis di pusat-pusat MTS.

Program Matematik kendalian para relawan turut diajukan pihak jawatankuasa untuk para pelajar MTS yang memerlukan bimbingan dan sokongan sosio-emosi lebih baik.

Ibu bapa juga digalak supaya lebih aktif melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka.

PEMBANGUNAN PROFESIONAL BAGI PENGAJAR

Jawatankuasa dipengerusikan Encik Zaqy turut mengemukakan saranan untuk membentuk sebuah kumpulan yang akan membantu menyelaraskan mutu bimbingan semua pengajar MTS.

Usaha ini juga bagi memastikan semua pendidik dan tenaga pengajar mendapat sokongan dalam pembangunan profesional dan keupayaan mereka.

Dari segi pendampingan pula, MENDAKI disarankan agar bekerjasama dengan MOE sebagai rakan Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT).

Ini bagi memperkukuhkan lagi usaha mendampingi sekolah-sekolah di kawasan-kawasan tertentu yang mempunyai nisbah tinggi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau kurang cemerlang.

TUBUHKAN PEJABAT PEMENTORAN BELIA

Encik Zaqy turut mengumumkan pembukaan Pejabat Pementoran Belia hari ini (6 Mac). Pejabat itu katanya, ditubuhkan untuk memupuk budaya membimbing dalam masyarakat.

MENDAKI kini mempunyai lebih 700 mentor dengan lebih 200 daripada mereka menyokong usaha-usaha badan bantu diri itu.

Encik Zaqy menjangkakan MENDAKI akan mempunyai 1,000 mentor menjelang hujung tahun ini.

Pejabat Pementoran Belia dibuka dengan sokongan agensi-agensi lain M³.

KMM AKAN DIPERLUAS

Dalam pada itu, program KelasMateMatika@CC yang membantu murid-murid prasekolah dalam subjek Matematik dan melibatkan ibu bapa, juga akan diperluaskan.

Pada 2019, lebih 1,200 murid dan ibu bapa mereka meraih manfaat daripada KMM.

Lebih 90% ibu bapa yang menghadiri KMM, kata Encik Zaqy, kini lebih menyedari peri pentingnya pendidikan prasekolah dan yakin untuk membantu anak-anak mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan