Skip to main content

Singapura

Zaqy umum langkah baharu tingkatkan keselamatan kanak-kanak di masjid; kurikulum Tingkah Laku Perlindungan Diri diperkenalkan

Anggaran Waktu Membaca:
Zaqy umum langkah baharu tingkatkan keselamatan kanak-kanak di masjid; kurikulum Tingkah Laku Perlindungan Diri diperkenalkan

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad, mengumumkan langkah-langkah baharu tingkatkan keselamatan di masjid di acara CARE-nival pada Sabtu (29 Ogos) (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 29 Aug 2026 06:34PM Dikemas Kini : 29 Aug 2026 08:34PM
SINGAPURA: Para pegawai masjid akan memantau lebih rapi lagi sesi-sesi bimbingan ataupun perkongsian ilmu tidak formal yang melibatkan kanak-kanak di premis masjid.

Mereka juga akan mengikuti protokol yang lebih jelas oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk melaporkan sesuatu kes ataupun mengetengahkannya kepada pihak pengurusan.

Ini merupakan antara langkah baharu untuk meningkatkan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di masjid.

Ia diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad di acara Care-nival aLIVE pada Sabtu (29 Ogos).

Pengumuman tersebut menyusuli kes baru-baru ini melibatkan 'pempengaruh agama' dan dua kanak-kanak yang turut terjadi di sebuah masjid.
"Kes baru-baru ini yang melibatkan kesalahan terhadap anak-anak muda sudah pasti menimbulkan kebimbangan terutamanya dalam kalangan ibu bapa. Kami dengar kebimbangan ini. Ibu bapa mahu memastikan bahawa masjid kita selamat untuk anak-anak mereka dan kekal sebagai tempat yang terbuka dan mesra untuk solat, pembelajaran dan masyarakat yang lebih luas. Kami juga mahukan yang sama," kata Encik Zaqy.

Langkah-langkah keselamatan itu merangkumi tiga bidang.

1. KUKUHKAN BIMBINGAN BAGI PERLINDUNGAN

MUIS akan meningkatkan kesedaran dan memberi bimbingan tentang perlindungan dengan membekalkan kanak-kanak, ibu bapa dan pendidik dengan ilmu praktikal dan keyakinan untuk mengenal pasti kecurigaan, memberikan respons bersesuaian dan mencari pertolongan apabila perlu.

Inisiatif-inisiatif utama termasuk:
  •  sertakan pembelajaran Tingkah Laku Perlindungan Diri untuk pelajar-pelajar kelas aLIVE
  • infografik bersesuaian umur dan bahan-bahan pendidikan,
  • bahan-bahan untuk tingkatkan kesedaran bagi ibu bapa tentang keselamatan peribadi, risiko dalam talian dan saluran-saluran melaporkan insiden,
  • latihan perlindungan bagi guru-guru menerusi Kumpulan Kerja Pendidikan Islam (IEWG),
  • menggalakkan pusat-pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP) untuk menerapkan langkah-langkah dan bahan-bahan perlindungan, dan
  • learnislam.sg dan anggota IEWG akan berkongsi poster-poster di platform media sosial masing-masing untuk meluaskan jangkauan.

Penolong pengurus pusat aLIVE di Masjid Alkhair, Ustazah Siti Masykurah Md Ithinin menjelaskan bahawa pembelajaran Tingkah Laku Perlindungan Diri akan disesuaikan mengikut peringkat umur pelajar.

"Tahun ini, para asatizah telah dilatih untuk melaksanakan kurikulum 'Protective Behaviour' iaitu Tingkah Laku Perlindungan Diri yang disesuaikan mengikut peringkat usia pelajar. Melalui kurikulum ini, pelajar diajar mengenali tingkah laku yang selamat dan yang tidak selamat, memahami hak terhadap tubuh badan sendiri, berani berkata "tidak" serta mendapatkan bantuan daripada ibu bapa atau asatizah yang dipercayai apabila mereka rasa tidak selesa. Bagi pelajar yang lebih remaja pula, mereka turut didedahkan kepada isu keselamatan dalam talian, tekanan rakan sebaya dan pembinaan hubungan yang sihat," jelas Ustazah Siti Masykurah.

Menurut beliau, ini bagi memastikan setiap pelajar bukan sahaja belajar dalam persekitaran yang selamat malah mempunyai keyakinan untuk bersuara apabila memerlukan pertolongan.

2. PERKENALKAN RANGKA KERJA PERLINDUNGAN YANG SAMA DI SEMUA MASJID

MUIS juga akan memperkenalkan rangka kerja perlindungan yang sama merentasi masjid secara berperingkat bagi memastikan pendekatan dan pelaksanaan yang konsisten.

Ini termasuk menetapkan peranan kakitangan masjid dengan lebih jelas dan protokol yang sama bagi melaporkan sesuatu kejadian.

3. MENGUKUHKAN LANGKAH-LANGKAH PERLINDUNGAN

Rangka kerja tersebut akan diterapkan secara berkala menerusi:
  • latihan kesedaran perlindungan bagi kakitangan dan relawan masjid,
  • protokol-protokol lebih jelas bagi pegawai masjid membuat laporan dan ketengahkan insiden kepada pihak pengurusan,
  • pemantauan lebih rapi ke atas sesi-sesi bimbingan dan perkongsian ilmu tidak formal yang melibatkan kanak-kanak bawah umur melalui pendekatan mengenal pasti risiko, dan
  • pemeriksaan mengejut dan audit berkala akan dijalankan bagi memastikan aspek-aspek keselamatan di premis masjid seperti pencahayaan, rakaman CCTV, papan tanda dan amalan perlindungan.

Inisiatif-inisiatif itu bagi mempertingkatkan langkah-langkah perlindungan yang sudah diterapkan di masjid-masjid.

Ini termasuk memastikan kelas-kelas agama formal hanya dikendalikan oleh asatizah bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah serta keperluan pendaftaran bagi kumpulan-kumpulan agama luar masjid.

PERLUKAN USAHA SEMUA PIHAK

Meskipun pelbagai langkah sudah diterapkan dan diperkenalkan, Encik Zaqy berkata ia masih belum memadai kerana memerlukan usaha semua pihak bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

"Kami akan bekerjasama rapat dengan ibu bapa, keluarga, asatizah dan golongan muda sendiri untuk mengukuhkan cara kami memastikan keselamatan kanak-kanak dan belia. Ini termasuk membantu mereka memahami batasan yang sesuai, mengenal pasti apabila sesuatu mungkin tidak kena, dan mengetahui di mana untuk mendapatkan bantuan - sama ada di ruang fizikal mahupun dalam talian. Masjid kita mesti kekal sebagai tempat yang terbuka dan mesra, dan kita semua mempunyai peranan untuk memastikan keselamatannya," tambah beliau.

IKRAR KOMITMEN TERHADAP KESELAMATAN KANAK-KANAK DI MASJID

Bagi kelas-kelas formal di masjid seperti aLIVE, lebih banyak usaha juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran peserta yang merupakan kanak-kanak dan belia.

Program aLIVE (Learning Islamic Values Everyday) merupakan kelas bimbingan agama bagi kanak-kanak dan belia berusia antara 5 hingga 20 tahun. Mereka dibahagikan kepada empat peringkat umur.

Ia dikendalikan Hab Pembelajaran dan Pengurusan Islam (ILHAM).

Pengarah Eksekutif ILHAM, Hafiz Rashid menyatakan komitmen ILHAM untuk memastikan keselamatan para pelajar mereka.

"Keselamatan dan kesejahteraan setiap kanak-kanak yang diamanahkan kepada kami sentiasa menjadi keutamaan di ILHAM. Masjid ialah tempat ibadah, pembelajaran dan pembinaan masyarakat. Oleh itu, perlindungan kanak-kanak mesti menjadi sebahagian daripada keutamaan kami," ujar Ustaz Hafiz.

"Komitmen kami jelas memastikan masjid terus menjadi tempat ibadah dan pembelajaran yang selamat serta diyakini oleh setiap keluarga dan masyarakat. ILHAM akan terus bekerjasama dengan MUIS bagi memperkukuh sistem latihan asatizah dan kerjasama dengan semua pihak agar setiap kanak-kanak dapat belajar dalam persekitaran yang selamat," tambah beliau.

INISIATIF PEMBELAJARAN KHIDMAT ALIVE MEMPERSIAPKAN BELIA MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Langkah-langkah tersebut diumumkan di acara Pembelajaran Khidmat aLIVE bertajuk 'CARE-nival 2026' yang berlangsung di Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Bertemakan 'Kompas Kebaikan', CARE-nival kali ini menghimpunkan 634 pelajar Belia 2 daripada 23 pusat aLIVE dan sekitar 250 golongan berkeperluan khas daripada MINDS, Club Rainbow, Pusat Rainbow dan Persatuan Orang-Orang dengan Keperluan Khas (APSN).

Inisiatif tersebut memberi pelajar peluang menerapkan nilai-nilai Islam melalui perkhidmatan masyarakat bermakna dengan berinteraksi secara langsung dengan golongan berkeperluan khas.

Karnival tersebut direka dan dipimpin oleh para pelajar yang mencipta dan mengendalikan reruai-reruai permainan dan aktiviti-aktiviti untuk golongan tersebut dengan kerjasama badan-badan seperti Yayasan MENDAKI, SalamSG dan One Mosque Sector.
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita