Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zaqy umum 2 strategi baru bagi perkukuh Skim Tuisyen MENDAKI

Yayasan MENDAKI akan melancarkan dua usaha dan strategi baru ke dalam Skim Tuisyen Mendaki (MTS) serta Program Tuisyen Kolaboratif (CTP).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan melancarkan dua usaha dan strategi baru ke dalam Skim Tuisyen Mendaki (MTS) serta Program Tuisyen Kolaboratif (CTP).

Bermula pada tahun ini, program pembelajaran MENDAKI akan mengikuti struktur yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dalam pembelajaran mereka, iaitu menerusi Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB).

Demikian dedah Timbalan Pengerusi MENDAKI Zaqy Mohamad malam ini tadi (29 Jan).

SBB ialah sistem yang diperkenalkan MOE baru-baru ini bagi membolehkan pelajar mengambil mata pelajaran kemanusiaan pada tahap berdasarkan kekuatan masing-masing dan pada masa yang sama mengambil subjek-subjek teras mereka.

Dalam pada itu Encik Zaqy juga mendedahkan bahawa MENDAKI sedang menjalinkan kerjasama dengan MOE bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah menerusi skim UPLIFT.

Skim UPLIFT adalah usaha yang dijalankan oleh pasukan berbilang agensi untuk membantu pelajar dari keluarga berpendapatan paling rendah di Singapura, agar dapat memenuhi potensi masing-masing.

Kedua langkah baru itu adalah sebahagian daripada usaha MENDAKI untuk memastikan kandungan dan pendekatan yang diambilnya berkesan dan relevan, sejajar dengan landskap pembelajaran yang berubah-ubah dengan cepat.

Encik Zaqy berkongsi demikian ketika ditemui di acara perasmian program MTS hari ini (29 Jan), di Sekolah Menengah Unity. Turut hadir ialah CEO MENDAKI, Cik Rahayu Buang dan Timbalan CEO MENDAKI Cik Aidaroyani Adam.

LANGKAH BARU: SBB DAN UPLIFT

Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia berkata langkah yang diambil MENDAKI itu penting agar para pelajar di bawah naungan mereka tidak ketinggalan dengan perubahan-perubahan baru yang dijalankan di peringkat nasional.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Ditanya bagaimana kolaborasi UPLIFT sesuatu yang berlainan daripada apa yang sudah dijalankan oleh program MTS setakat ini, Encik Zaqy berkata lebih banyak pendekatan 'intervensi' akan dijalankan. Ini sekali gus bermakna, bantuan yang lebih tertumpu akan diberikan kepada para pelajar di bawah program tersebut.

Baru dimulakan dua minggu lalu, pasukan MENDAKI katanya sudah menjangkaui pelajar-pelajar di daerah Boon Lay, Marsiling dan Kreta Ayer.

"Jadi dari segi MTS kita selalu melihatnya sebagai skim tuisyen tapi melalui kolaborasi seperti UPLIFT ini kami akan dapat menggunakan keseluruhan sumber yang diadakan oleh MENDAKI dan juga rakan-rakan kongsi kami supaya kita dapat menolong anak-anak kita," tekan Encik Zaqy.

Menyentuh mengenai pengenalan SBB dalam program MTS pula, Encik Zaqy berkata latihan kepada tenaga pembimbing atau tutor sudahpun dijalankan, meskipun beliau sendiri akur bahawa majoriti daripada tenaga tutor merupakan guru terlatih.

"Hari ini setengah daripada pusat-pusat kita MTS kita sudah beralih kepada Pengumpulan Berdasarkan Subjek juga dan kita sudah mendaftarkan pelajar-pelajar dalam Menengah 1 untuk menggunakan sistem baru ini.," kongsi beliau.

Penolong Pengarah Pendidikan MENDAKI, Cik Sabrena Abdullah pula berkata langkah yang diambil pasukan itu adalah untuk menyediakan pembelajaran berbentuk holistik.

"Kami sangat begitu prihatin dengan perubahan landskap di sekolah, dengan cara itu Pengumpulan Berdasarkan Subjek ini adalah satu boleh saya katakan satu perubahan yang besar juga di MTS di mana kami akan mengenal pasti murid-murid yang sudah pun dikumpulkan berdasarkan subjek di sekolah-sekolah dan kami akan mengalirkan mereka mengikut kefasihan mereka," jelas beliau.

Kedua-dua perubahan itu dilaksanakan selepas satu semakan dijalankan oleh jawatankuasa MENDAKI baru-baru ini.

LANGKAH MENDAKI PERANGI VIRUS WUHAN

Di tengah-tengah virus korona Wuhan kini, MENDAKI juga mempertingkatkan langkah berjaga-jaga bagi para pelajar program MTS.

Di majlis perasmian itu misalnya, para pelajar dilihat mengambil suhu badan sebelum memasuki ke Sekolah Menengah Unity. Bagi para pelajar yang berasa tidak sihat pula, mereka diberikan pelitup muka.

Selepas pemeriksaan dijalankan, para pelajar itu dibawa ke dewan sekolah untuk bagi penerangan tentang langkah berjaga-jaga yang boleh mereka diambil.

Dalam pada itu, MENDAKI turut memberi jaminan bahawa setiap pusatnya itu akan menyediakan pelitup sekiranya para pelajar perlu menggunakannya.

Langkah tersebut amat penting tambah MENDAKI agar kesemua pelajar yang mengikuti programnya itu berada dalam keadaan selamat.

Ini lebih-lebih lagi kerana MENDAKI akan menyaksikan lebih daripada 6,000 pelajar daripada Darjah 1 hingga kepada Menengah 5 akan menyertai programnya di 85 pusat MENDAKI tahun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan