Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zaqy: Program M³@Marsiling-Yew Tee diselaraskan bersesuaian dengan keperluan penduduk

Program dan usaha yang dijalankan di bawah M³@Marsiling-Yew Tee diselaraskan bersesuaian dengan demografi penduduk di kawasan tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pertengahan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Program dan usaha yang dijalankan di bawah M³@Marsiling-Yew Tee diselaraskan bersesuaian dengan demografi penduduk di kawasan tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pertengahan.

Lantaran itu, Jawatankuasa M³@Marsiling-Yew Tee akan memberi fokus kepada usaha untuk memperkukuh institusi keluarga dan memperkasakan belia Melayu/Islam.

Demikian dikongsi oleh penasihat pertubuhan akar umbi GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Zaqy Mohamad.

"Memang dari segi demografi, demografi sebelah Marsiling dan sebelah Limbang berlainan sedikit.

"Mereka di Marsiling lebih memerlukan program sosial, program yang boleh menolong mereka dari segi sosial, kewangan atau kekeluargaan.

"Tapi saya juga rasa di Limbang-Yew Tee kita juga dapat melihat lebih ramai dari segi demografi pertengahan, isu-isu mereka berlainan tapi saya juga rasa mereka prihatin akan pendidikan anak-anak mereka, kekeluargaan, dan panduan untuk keluarga juga," kongsi Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia.

2 PROGRAM BAGI PERKUKUH INSTITUSI KELUARGA

Dakam usaha M³@Marsiling-Yew Tee untuk memperkukuh institusi keluarga, jawatankuasanya akan menganjurkan dua program yang memberi tumpuan kepada rumah tangga, bimbingan keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Antara program yang akan dianjurkan jawatankuasa tersebut termasuklah Projek Naib Kadi' yang akan dijalankan di Kelab Masyarakat Marsiling dengan kerjasama Mahkamah Syariah, bagi memberikan sokongan kepada pasangan Melayu/Islam untuk bertemu dengan Naib Kadi sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

"Kami juga akan merintis program baru, iaitu program Naib Kadi di Marsiling selama tiga bulan dan melihat bagaimana ia akan dijalankan dengan lebih baik dengan kerjasama masjid juga.

"Oleh kerana kami boleh menggunakan tenaga sukarelawan masjid untuk memberikan panduan dan sokongan kepada mereka yang anak-anak muda atau pasangan muda yang ingin berkahwin," kongsi beliau.

Selain itu, kursus 'Marital First Responder' juga akan dilaksanakan dengan kerjasama Masjid An-Nur, bagi membantu individu yang mengalami masalah rumah tangga menerusi sesi-sesi kaunseling.

Menurut Encik Zaqy, setakat ini terdapat 16 pemimpin akar umbi dan empat sukarelawan masjid yang sudah dilatih untuk menjadi 'responder pertama'.

"Kami akan melancarkan 'marriage responder di mana kita akan berikan panduan kepada keluarga yang mungkin rasa mereka ada isu rumah tangga dan sebagainya, dan di sini kita memberi sokongan dan panduan keibubapaan," kata beliau lagi.

KELAS MATEMATIKA AKAN DIPERLUASKAN

Menurut Encik Zaqy lagi, KelasMateMatika@Marsiling juga akan diperluaskan kepada murid prasekolah di Limbang, Yew Tee dan Woodgrove, bermula bulan depan.

Ini selepas KMM@Marsiling mendapati 75 peratus daripada keluarga yang berdaftar mengikuti program tersebut secara kerap.

"Kita akan meluaskan lagi, kita telah bermula di Marsiling dan sekarang kita akan meluaskan lagi ke Limbang, Divisyen Woodgrove dan Divisyen Yew Tee juga.

"Di sini kita mahu memberi sokongan kepada keluarga oleh kerana ramai mungkin tidak tahu tentang pendidikan anak mereka ataupun bagaimana untuk memberi sokongan kepada anak mereka," kata Encik Zaqy.

JAWATANKUASA DITUBUHKAN BAGI LAKAR PROGRAM PERKASA MASYARAKAT

Berdasarkan perkembangan positif ini, jawatankuasa M³@Marsiling-Yew Tee dibentuk untuk merangkumi para karyawan daripada sektor perubatan dan pendidikan bagi menghubungkan penduduk dengan khidmat sedia ada.

Jawatankuasa tersebut diterajui oleh Cik Rahidah Mohd Noor.

"Sebagai Pengerusi M³@Marsiling-Yew Tee, saya ingin menambah nilai ke atas inisiatif dan program-program yang sedia ada demi mempertingkatkan lagi institusi kekeluargaan, dan pada masa yang sama kita akan melakarkan program-program untuk belia," kongsi Cik Rahidah, yang merupakan seorang pendidik.

Seorang daripada relawannya, Dr Muhammad Faisal Johandi pula ingin membantu penduduk di GRC tersebut demi meningkatkan pemahaman berkaitan dengan isu-isu kesihatan.

"Sebagai seorang sukarelawan, saya rasa saya akan berkerjasama dengan ahli-ahli sukarelawan berkhidmat dalam Marsiling-Yew Tee untuk membawakan aktiviti dan program untuk penduduk di daerah sini khususnya kepada keluarga yang kurang berkemampuan supaya mereka diberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan bidang lain.

"Sebagai seorang doktor juga saya harap untuk membawakan program-program yang dapat memberi kefahaman mengenai kesihatan dan cara hidup yang lebih sihat dengan lebih juga," kongsi beliau.

Majlis pelancaran yang diadakan sempena Fiesta Kesihatan 2.0 di Taman Sukan Mega Woodgrove ini dihadiri sekitar 1,000 pengunjung. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan